Berita PUTRA

Wira PUTRA mohon Yang di-Pertuan Agong isytihar darurat politik

KUALA LUMPUR – PERGERAKAN Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Wira PUTRA) memohon Yang di-Pertuan Agong agar mengisytiharkan darurat politik ke atas negara.

Perintah darurat itu dicadang apabila negara dikatakan sedang berhadapan dengan tiga polemik yang masing-masing masih belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih.

Tiga polemik tersebut adalah, kemelut politik melibatkan perebutan kuasa dan perpecahan dalam kerajaan dan krisis pandemik Koronavirus (Covid-19) yang meningkat mendadak.

Polemik ketiga pula adalah kedudukan ekonomi negara yang tidak dapat dipastikan hala tujunya dengan jelas kesan daripada kemelut politik dan krisis kesihatan.

Justeru, dengan perintah darurat, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah adalah diperlukan bagi menyusun semula struktur kepimpinan kerajaan.

“Wira Putra menyokong pandangan Presiden agar Tuanku atas hemat dan sifat kasihkan rakyatnya untuk segera umumkan perintah darurat politik.

“Ia bagi menyusun atur semula struktur kepimpinan kerajaan ke arah menstabilkan semula ekonomi dan keselamatan rakyat lebih terjamin dari terus ditadbir oleh politikus yang tidak berguna.

“Tindakan afirmatif dan segera amat diperlukan pada ketika ini sebelum nasi menjadi bubur.

“Sebelum bencana dan musibah bertambah teruk hingga mengganggu gugat masa depan generasi akan datang, adalah sebaiknya perkara ini dibendung merujuk kepada Perlembagaan.”

Demikian kata Exco Pergerakan Wira Putra, Ashraf Rosli dalam satu kenyataannya hari ini mengulas ketiga-tiga polemik yang berlaku serentak dan melahirkan kebimbangan terhadap perkara itu.

Menurut beliau, kesan terbesar pada ekonomi dapat dilihat apabila syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia terpaksa mengurangkan 10 peratus kakitangannya.

Oleh demikian, pemberhentian seramai 2,400 kakitangan syarikat tersebut memperlihatkan kegagalan kerajaan dalam menguruskan krisis ekonomi.

Ia menyebabkan peningkatan kadar pengangguran negara kesan daripada kelemahan dalam mengatasi masalah ekonomi.

” Semua sedia maklum semenjak pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) hinggalah ke tahap pemulihan, tahap pengangguran meningkat.

“Kini ditambah pula dengan pemberhentian pekerja AirAsia yang menunjukan kegagalan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara.

“Bukan sekadar pengangguran yang tinggi, malah kerajaan juga rapuh dalam pengurusan pentadbiran.

“Buktinya adalah di mana Perdana Menteri tidak dapat menyatukan komponen di dalam parti gabungan beliau sendiri iaitu Perikatan Nasional (PN),” jelasnya.

Disebabkan itu juga, Ashraf mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengembalikan semula kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Natijah daripada sifat gila kuasa dari pihak kerajaan yang telah menggadaikan keselamatan dan kesihatan rakyat, kes Covid-19 kembali naik semula hampir keseluruh Malaysia.

“Tindakan pentingkan diri sendiri ini membuatkan rakyat mencemuh dan memperleceh kewibawaan politik dalam sistem demokrasi negara ini hingga ada yang membenci dan meluat dengannya.

“Ini juga membawa impak negatif kepada perjalanan politik negara hingga rakyat mula rasa tidak selesa dan tidak senang dengan apa jua gerak kerja dan tindakan pemimpin kerajaan.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin menggadaikan tiga perkara teras iaitu dari segi ekonomi, keselamatan dan kesihatan rakyat serta sistem politik negara akibat kecuaian dan kerakusan sepanjang tempoh memerintah negara.

“Wira Putra menyarankan agar Muhyiddin serah semula kuasa beliau kepada Yang di-Pertuan Agong,” gesanya.

Sumber: https://suaramerdeka.com.my/wira-putra-mohon-yang-di-pertuan-agong-isytihar-darurat-politik/