Berita PUTRA

WIRAWATI PUTRA SOKONG PeKT DITUTUP, JADIKAN DANA BANTU KESUSAHAN RAKYAT – NAIB KETUA WIRAWATI

KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN WIRAWATI PUTRA MALAYSIA
3 Januari 2022

Oleh: Nurhafizah Jamalludin
Naib Ketua Wirawati PUTRA Malaysia

1. Wirawati PUTRA menyokong penuh keputusan Kerajaan berhubung penamatan khidmat anggota Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang berakhir di seluruh negara mulai hari ini, setahun lebih awal berbanding penggal yang dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2022. Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dalam surat yang dihantar kepada anggota PeKT di seluruh negara. Rujuk https://www.malaysiakini.com/news/605204

2. Negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan wabak COVID-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini di beberapa buah negeri sehingga meragut nyawa dan kemusnahan harta benda. Eloklah jika penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang lebih kritikal dan lebih menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini, bukannya dibazirkan kepada pihak tertentu demi menjaga hubungan politik peribadi.

3. Dalam Belanjawan 2022, telah diluluskan sebanyak RM8.57 juta diperuntukkan kepada PeKT. Adalah baiknya jika peruntukkan tersebut disalurkan kepada sektor-sektor kritikal yang memelukan modal untuk membaik pulih ekonomi rakyat dan negara. Jangan dibazirkan wang negara untuk melindungi aktiviti atau kumpulan tertentu yang bersifat ekslusif semata-mata. Ini jelas menunjukkan salah guna kuasa dan perbuatan yang tidak bermoral jika ia dibiar begitu sahaja.

4. Wirawati menggesa semua kementerian meneliti mana juga agensi atau badan yang ditubuhkan tidak lagi relevan seperti PeKT dengan keperluan semasa untuk ditamatkan atau disatukan bersama mana-mana agensi yang bersesuaian bagi mengurangkan kos dan dihalakan peruntukan tersebut kepada agensi yang memerlukan. Sesuatu inisiatif kerajaan yang diwujudkan wajib bersifat inklusif. Lebih-lebih lagi jika ia dilihat sebagai alat penyaluran dana bagi menjaga kepentingan politik individu tertentu ia perlu dihentikan segera.

5. Wirawati PUTRA juga memberi teguran, jangan pula KPKT seperti ‘Harapkan Pegar, Pegar Makan Padi’. Berilah khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara dalam situasi negara yang ditimpa musibah ketika ini. Jadilah ‘Bahu’ yang boleh disandarkan oleh rakyat dalam suasana duka dan hiba ini.

Sekian.