Berita PUTRA

Wirawati lapor polis pemilik akaun hina Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra menyeru kerajaan mempertimbangkan cadangan parti itu supaya mengembalikan semula hukuman dan akta yang lebih berat terhadap penghina institusi diraja.

Ketuanya, Dr. Asmah Razalli berkata, sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas ke atas penghina terbabit kerana hukuman ringan dikenakan sebelum ini seperti tidak mendatangkan ketakutan kepada mereka.

Menurut beliau, sayap parti itu tidak sesekali berkompromi pengkhianatan mahupun penghinaan terutama ke atas Yang di-Pertuan Agong sebagaimana berlaku pada akaun media sosial milik Raja Permaisuri, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Katanya, bagi menghadap pelaku ke muka pengadilan, Wirawati Putra membuat laporan di Balai Polis Jalan Haji Eusoff, Kuala Lumpur petang ini supaya siasatan dilakukan dan mengenakan hukuman berat.

“Kita berasa kecewa dan kesal dengan posting penghinaan dan penukaran gambar Yang di-Pertuan Agong yang dikongsi oleh Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di halaman Instagram ‘airtangan_tunkuazizah’.

“Kita juga berharap segala penghinaan dan kebiadapan terhadap institusi diraja dapat dihentikan dari berlaku sama ada di media sosial mahupun di kalangan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Turut bersama membuat laporan polis, Naib Ketua Wirawati Putra, Hafizah Jamaluddin dan Ketua Wira Putra, Nasrul Ali Hassan.

Hari ini, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah murka terhadap beberapa hantaran gambar di media sosial yang menghina wajah suami baginda, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menerusi laman Instagram ‘airtangan_tunkuazizah’ memuat naik tiga tangkapan layar gambar Al-Sultan Abdullah yang telah disunting pemilik akaun ‘bukan_bangjago’ dan menggesa individu yang tidak bertanggungjawab itu dikenakan tindakan.

Bagaimanapun, Tunku Azizah sempat berseloroh kepada Al-Sultan Abdullah bahawa foto itu kelihatan ‘comel dan seksi’.

Menurut Dr. Asmah, pihaknya meminta polis, Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri menyiasat kes itu sama ada mempunyai dengan rakyat tempatan atau warga asing.

Sumber : https://malaysiagazette.com/2020/12/31/wirawati-lapor-polis-pemilik-akaun-hina-yang-di-pertuan-agong/