Berita PUTRA

Wira PUTRA Saran Pemimpin Bersatu Jangan Sombong Dalam Soal Perpaduan Melayu

KENYATAAN MEDIA

WIRA PUTRA SARAN PEMIMPIN BERSATU JANGAN SOMBONG DALAM SOAL PERPADUAN MELAYU

  1. Wira PUTRA berpesan pada diri sendiri dan semua pemimpin yang memperjuangkan agenda nasionalis Melayu Islam jangan jadi terlalu angkuh dan sombong jika benar mahukan penyatuan orang-orang Melayu. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu mampu mencalar dan mengguris usaha penyatuan orang-orang Melayu dan Islam yang sedang dibina demi kepentingan masa depan anak bangsa yang semakin meruncing.
  2. Jika menyentuh soal kesatuan umat Melayu dan Islam, seeloknya jangan menunjukkan sifat sombong, sifat angkuh kerana setiap gerak kerja penyatuan tersebut di perhati dan di nilai oleh semua orang lebih-lebih lagi mereka yang atas pagar dan musuh yang anti-nasionalis Melayu Islam.
  3. Usaha penyatuan yang sedang dilakukan adalah dalam konteks yang lebih luas dan besar. Bukan sekadar dalam ruang lingkup kepartian dan politik jangka masa pendek sahaja. Jangan memandang rendah kepada sokongan mana-mana kumpulan parti atau badan bukan kerajaan berteraskan Melayu dan Islam. Dalam keadaan genting seumpama ini sepatutnya di elakkan dari menyakitkan hati orang-orang Melayu. Perlu diingati, walau kurang satu undi yang kalah tetap kalah.
  4. PUTRA mengakui bahawa kita mengalami pengalaman kalah teruk dalam percubaan pertama di dalam PRU15 lalu. PUTRA parti baru berusia 4 tahun (2 tahun SOP Covid-19) tapi status terkini amat membanggakan. Tiada dana tapi kecekalan yang sukar ditandingi oleh mana-mana pihak. Namun penghinaan sebegini sebelum dikeluarkan patut ambil iktibar apabila Bersatu pada peringkat awal juga kalah teruk dan ada juga hilang deposit semasa PRN Melaka dan Johor. Janganlah kerana telah menang PRU15 tetapi gagal tubuh kerajaan sudah besar kepala dan bercakap seperti abang besar. Cara dan gaya bercakap, tidak mencerminkan untuk menang pada PRN yang menjelang.
  5. Buka mata dan jiwa, sejarah telah membuktikan dengan kerjasama semua pertubuhan dan kumpulan orang-orang Melayu dari pelbagai falsafah dan perjuangan pada tahun 1946 dahulu telah membawa kejayaan yang besar buat survival orang Melayu sehingga pemerintahan Malayan Union dikuburkan. Langkah seumpama ini memerlukan pengorbanan, kerjasama dan merendahkan ego demi kepentingan masa depan anak bangsa.

Sekian.

Oleh: Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia
28 Jun 2023 | 9 Zulhijjah 1444H