Berita PUTRA

WIRA PUTRA GESA MENTERI UMUM STATUS TERKINI KES KEMATIAN ALLAHYARHAM ADIB KASSIM

KENYATAAN MEDIA
KETUA PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA
19 OKTOBER 2020 | 2 Rabiulawwal 1442H

  1. Wira PUTRA percaya orang ramai, rakan sepenjawat dan keluarga Allahyarham Adib Kassim menaruh harapan tinggi agar kematian anggota bomba di dalam tugas itu mendapat pembelaan sewajarnya walaupun sudah hampir dua tahun berlaku.
  2. Sehingga kini, sejak kali terakhir Menteri Dalam Negeri mencadangkan membuka inkues semula dan dikritik netizen pada Ogos lalu nampaknya langsung tiada tindakan susulan yang dimaklumkan. Ibarat isu kematiannya cuba disenyapkan sedikit demi sedikit dan tidak diambil peduli oleh kerajaan sama seperti zaman pemerintahan PH. Hal ini seperti sengaja dilengahkan seperti ada tujuan tertentu.
  3. Keputusan Mahkamah Koroner pada 27 September lalu yang memutuskan punca kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali itu ibarat sekadar satu laporan atas kertas sahaja. Tiada penangkapan suspek, tiada hukuman dijatuhkan. Kes ini ibarat kes misteri yang tiada jawapan. Apa lagi yang ditunggu sedangkan laporan inkues sudahpun dikeluarkan?
  4. Justeru, Wira PUTRA gesa Menteri Dalam Negeri ambil tindakan segera dan gerakkan pasukan bagi membawa keadilan dan hukum pembunuh yang masih bebas di luar sana. Tindakan membiar suspek bebas dan tidak dihukum menunjukkan kelemahan fungsi penguatkuasaan dan ia tidak wajar berlaku kerana Wira PUTRA yakin dan percaya pihak berkuasa di Malaysia amat berpengalaman mengurus hal-hal kritikal seperti ini. Wira PUTRA juga memohon agar Menteri Dalam Negeri agar dapat membuat kenyataan status terkini bagi memaklumkan rakyat perkembangan kes ini agar rakyat dapat mengetahui sama ada keadilan kes ini sedang ditegakkan atau ia disejuk bekukan dan tiada tindakan susulan diambil.
  5. Wira PUTRA kecam sekerasnya jika ia sengaja dilengahkan atas faktor campur tangan politik. Keadilan dan kebenaran perlu ditegakkan bagi memastikan integriti penguatkuasaan di negara kekal dipandang tinggi oleh rakyat Malaysia. Ia amat keji jika ia hanya menjadi modal politik dan hanya akan mula diselesaikan apabila sampai tempoh tertentu seperti apabila menghampiri PRU akan datang.

Sekian.

Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia