Waduh, siapa yang berkata benar?
Politik negaraku Malaysia semakin parah dan memalukan.
Di manakah umat Islam Malaysia mahu simpan air muka dan keaiban?
Mahiadin Yassin mendedahkan Zahid Hamidi datang berjumpanya membawa fail bertimbun, minta tolong selesaikan kes mahkamahnya.
Waduh, malunya presiden parti keramat! Mahiadin sudah bogelkan Zahid.
Zahid tempelak Mahiadin dan bertindak balas dengan cara menangkisnya.
Zahid berkata beliau sanggup bersumpah laknat bagi menafikan bahawa tuduhan Mahiadin adalah fitnah dan tidak benar sama sekali.
Waduh, siapa yang berkata benar?
Sebelum ini mereka berdua adalah kawan rapat, kawan seperjuangan dan kawan dalam parti keramat.
Apabila sudah bergaduh maka membogellah antara satu sama lain dalam keadaan rakyat masih tenat akibat Covid-19 dan pengurusan ekonomi yang gagal akibat salah guna kuasa dan rasuah.
Rakyat merintih dan menangis manakala pemimpin asyik bertengkar sampai bogel-membogel.
Tidak ada rasa malukah dan di manakah nilai-nilai ajaran Islam serta adat budaya bangsa?
Mutakhir ini sudah bertimbun berita-berita jijik melibatkan banyak pemimpin bertaraf PM, menteri dan MB. Malu dan memalukan.
Mungkin sudah tiba masanya sebelum keadaan makin melarat, ada di kalangan ahli-ahli politik eloklah buat pemeriksaan kesihatan mental dan boleh berubat di Tanjung Rambutan dan di Tampoi, Johor.
Tahap kesihatan mental pemimpin-pemimpin politik dan negara kini amat dikhuatiri dalam keadaan kritikal.
Ini diukur daripada kenyataan-kenyataan dan ucapan-ucapan serta pelbagai pendedahan melalui media sosial.
Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia sudah pada tahap amat serius dan akan menjejaskan lagi kesejahteraan rakyat yang sudah pun tenat dan pastinya akan lebih tenat.
Wahai pemimpin-pemimpin Melayu, berhentilah memalukan bangsa sendiri. Perebutan kuasa ini tidak memberi apa-apa keuntungan pun kepada rakyat.
Berehatlah demi kesihatan diri dan kasihanilah rakyat. Terimalah nasihat dan keluhan ikhlas ini iaitu daripada seorang pejuang politik yang ada harga diri dan maruah.
Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali, Presiden Parti PUTRA Malaysia