TAHNIAH YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PM KE-10
KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI PUTRA MALAYSIA
- PUTRA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke 10 oleh KDYMM SPB YDPA hari ini 24hb November 2022.
- Pelantikan ini sebagaimana titah SPB YDPA adalah Perdana Menteri bagi Kerajaan Perpaduan demi kesejahteraan rakyat dan kesetabilan politik negara.
- YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melalui ranjau yang amat panjang dengan berbagai cabaran dan ujian. Sudah tentu ianya akan menjadi azimat yang penting dalam mengemudikan negara ke arah yang lebih baik, tenang dan harmoni.
- Hubungan dan pengalaman luas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di peringkat antarabangsa di harap akan memberi manfaat kepada negara terutama keyakinan kepada pelabur-pelabur asing untuk datang melabur di Malaysia dalam masa yang terdekat.
- PUTRA percaya dan yakin usaha membanteras rasuah akan lebih berkesan di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dikenali kuat dan tegas menentang apa saja bentuk rasuah dulu, kini dan di yakini buat selamanya.
- PUTRA juga yakin YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan tegas melindungi kepentingan umat Melayu, kaum Pribumi dan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan, walaupun meraikan kepentingan semua kaum yang merupakan rakyat Malaysia.
- PUTRA yakin perkara asas Perlembagaan Negara saperti Fasal 151, 152, 153 dan yang berkaitan diperkasakan terutama Islam Agama Persekutuan, Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Hak keistimewaan Orang-Orang Melayu dan hak lain-lain kaum.
- PUTRA juga menaruh keyakinan agar YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan berusaha dan mengambil tindakan untuk mengembalikan status tanah rezab Melayu ke tahap 50% sepertimana jaminan dalam perlembagaan.
- Mengikut laporan terbaru Ketua Audit Negara, tanah rezab Melayu di Selangor kini tinggal hanya 20% sahaja. Ianya salah di sisi perlembagaan dan undang-undang negara.
SELAMAT BERKHIDMAT SEBAGAI PERDANA MENTERI KE-10. SEMOGA NEGARA DAN RAKYAT SEJAHTERA.
HIDUP PUTRA!
Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali
Presiden PUTRA Malaysia
24.11.2022