Berita PUTRA

Selamatkan Kuala Koh!

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kementerian Kesihatan diminta untuk segera memantau keadaan dan mengatasi masalah kesihatan Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang sebelum menjadi lebih parah.

Ketua Wirawati Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Asmah Razalli malah menggesa kerajaan membawa pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan jika benar dakwaan terdapat pencemaran daripada punca bekalan air menjadi penyebab penduduk mengalami masalah jangkitan kesihatan.

Berikut merupakan kenyataan penuh Asmah:

Kami di Wirawati Putra mendoakan semoga semua mangsa Orang Asli dalam keadaan stabil dan mendapat rawatan yang mencukupi.

Wirawati Putra berharap Kementerian Kesihatan yang dikenali sebagai Kementerian yang sentiasa memberi perkhidmatan cemerlang dapat mengatasi masalah ini dan segera memantau keadaan sebelum menjadi lebih parah.

Siasatan teliti harus dijalankan dengan lebih menyeluruh dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar kerana bilangan nyawa yang terancam semakin meningkat.

Pihak yang tidak bertanggunjawab wajib dibawa ke muka pengadilan jika benar dakwaan terdapat pencemaran dari punca bekalan air yang diminum oleh penduduk.

Sangat menyedihkan kerana ini adalah seakan kali kedua kes seperti ini terjadi setelah apa yang menimpa di selatan tanah air baru-baru ini.

Amatlah dikesalkan jika benar dakwaan punca pencemaran bekalan air merupakan faktor penyumbang kematian, bagaimanapun kami di Wirawati Putra yakin Kementerian Kesihatan mampu mengawal permasalahan ini dan berkongsi fakta sebenar tanpa berselindung.

Malaysia menuju negara maju bukan mundur.

Semoga semua penduduk Orang Asli di Kuala Koh mendapat rawatan dengan kadar segera dan punca jangkitan sebenar boleh dikenal pasti untuk menyegerakan proses bendung dan rawat.

Semua nyawa adalah berharga, Tiada kompromi.

Selamatkan Kuala Koh.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/selamatkan-kuala-koh-1.914559#.XPz98IquT9w.whatsapp