Rakyat wajib tolak pemimpin rakus, pilih parti bersih – Tok Him
KUALA LUMPUR – Rakyat sudah jemu dan muak dengan mainan politik hari ini, tegas Presiden Parti Bumiputera Perkasa (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.
Kata beliau, mana-mana parti politik, baik yang ditubuhkan lebih setengah abad lalu atau sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), perjuangan mereka tidak lebih untuk memenuhi agenda diri semata-mata.
“Tengok sekarang, antara Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN), Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH), masing-masing menghabiskan masa untuk merebut kuasa.
“Di mana masa untuk mereka membela rakyat? Adakah mereka tahu kehidupan rakyat kini semakin tertekan dengan keadaan yang serba rumit dan payah?
“Apa yang berlaku hanyalah perebutan kuasa dan permainan politik antara lawan atau pun politik dalaman parti tertentu bagi mengejar jawatan yang bergaji lumayan semata-mata,” katanya selepas majlis perjumpaan Presiden Putra bersama pimpinan Bahagian Putra Hulu Langat dekat sini hari ini.
Putra Bahagian Hulu Langat diketuai seorang tokoh graduan universiti yang kini memegang jawatan ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat pembekal.
Turut hadir, Naib Presiden Putra, Datuk Aziz Jamaludin; Setiausaha Agung, Borhan Zakaria; Pengerusi Putra Kelantan, Prof. Datuk Dr. Che Musa Che Omar; Ketua Wirawati, Dr. Asma Razalli; dan Pengerusi Bersama Kelab Penyokong Putra, Datuk Seri Dr. Chong
Menurut Dr. Ibrahim, hanya rakyat dapat menghumbankan parti atau pemimpin artificial apabila tiba PRU-15.
Katanya, rakyat mahu pemimpin dan parti yang bersih, bermoral serta benar-benar berjiwa cakna terhadap kebajikan masyarakat, bukan manusia yang suka berebut jawatan, sentiasa tidak cukup harta, pembohong, hipokrit dan munafik.
“Saya menasihatkan rakyat agar mengenali pemimpin dan parti yang beretorik dan cakap tidak serupa bikin. Nyahkan manusia yang suka berlakun, suka memekik hidup Melayu dan takbir Allahuakhbar, tetapi mereka yang jual Melayu dan agama Islam.
“Sifat dan suara mereka seperti bunyi ‘guruh di langit, tapi hujan tak turun’ atau sama seperti ‘ayam berkokok, namun hari tidak siang’.
“Oleh itu, rakyat hendaklah berhati-hati dan menolak golongan yang rakus tanpa mengira dari parti mana. Kasihanilah anak cucu, masa depan dan negara yang semakin sakit tenat,” katanya.
Beliau juga mengingatkan pimpinan dan ahli Putra agar menghayati prinsip bersih dan bermoral, bahkan, jangan sekali-kali terikut dengan puak haprak sehingga bangsa sendiri merempat.
Katanya, jika ada di kalangan mereka seperti itu, sia-sialah perjuangan parti Putra selama ini yang didokong dengan air mata dan hanya bersenjatakan lidi sahaja.
Sumber : https://malaysiagazette.com/2020/12/27/rakyat-wajib-tolak-pemimpin-rakus-pilih-parti-bersih-tok-him/