PUTRA selar kerajaan perkenal kod etika wartawan
KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyelar tindakan kerajaan Malaysia yang terbaru memperkenalkan kod etika wartawan pada masa ini.
Ketua Penerangan Putra Malaysia, Shahrulufti Sharif berkata, langkah tersebut secara tidak langsung memberikan kuasa kepada Jabatan Penerangan untuk membatalkan mana-mana kad syarikat pengamal media.
“Ini adalah suatu tindakan yang mencerminkan ketiadaan intergriti kerajaan dan usaha untuk mengawal media yang mana perkara sebegini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya.
Menurut beliau, PUTRA menolak sekeras-kerasnya mengenai sebarang bentuk pengawasan yang berlebihan dan tidak adil yang dikenakan oleh kerajaan terhadap media termasuklah mengenai kod etika yang diperkenalkan baru-baru ini.
Kata beliau, seharusnya kod etika tersebut perlu menjadi garis panduan yang betul dalam meningkatkan integriti dan profesionalisme para pengamal media itu sendiri.
“Namun, apa yang terjadi ialah kod tersebut telah dijadikan sebagai alat untuk menyekat kritikan dan menghukum mana-mana media yang berani bersuara terhadap kerajaan itu sendiri,
“Oleh sebab itu PUTRA mendesak kerajaan untuk menarik balik kod etika ini dan membiarkan Majlis Media Malaysia, yang akan ditubuhkan, untuk mengambil alih tanggungjawab dalam merangka kod etika yang adil dan berimbang,” tegasnya.
Tambah beliau, langkah sebegitu adalah bertujuan untuk memastikan para pengamal media dapat beroperasi tanpa perlu rasa takut akan pembatasan atau hukuman yang tidak adil.
“PUTRA telah menggesa kerajaan untuk berhenti menggunakan taktik intimidasi terhadap media dan menghormati prinsip kebebasan media sebagai asas kepada negara demokratik.
“Ini bertujuan untuk mempertahankan hak media untuk melaporkan tanpa prejudis dan tanpa takut kepada ancaman kerajaan itu sendiri kerana sekiranya tidak maka jelaslah bahawa Kerajaan MADANI sudah hilang integriti,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024