PUTRA sedia ambil alih Kelantan PRU 15?
KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bersedia mengambil alih Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) ini?
Namun, tidak mustahil ia menjadi kenyataan sekiranya Putra meletakkan calon bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
Menurut Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, cadangan itu diterjemahkan beliau dalam perjumpaan tertutup dengan bekas pemimpin beberapa parti politik dan mantan calon PRU 12, PRU 13 serta PRU 14 di sebuah hotel Kota Bharu, semalam.
Katanya, topik perjumpaan itu ada kaitan rapat dengan kegagalan kerajaan Pas memerintah Kelantan selama 30 tahun sejak 1990.
“Kami bincang mengenai tempoh 30 tahun rakyat Kelantan menderita bawah pemerintahan Pas.
“Antara yang hadir ialah jemputan khas melibatkan bekas calon PRU, mantan pemimpin dari parti politik tertentu dan individu yang diundang khas,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Menurut Dr. Ibrahim, majoriti yang hadir sebulat suara memberi mandat kepada Putra bertanding di semua kerusi DUN Kelantan.
Katanya, pemilihan Putra sebagai memberi peluang alternatif kepada rakyat untuk memilihnya sebagai kerajaan baharu di Kelantan.
Perjumpaan itu turut dihadiri Pengerusi Putra Kelantan, Prof. Datuk Che Omar dan Ketua Penerangan Putra Malaysia, Datuk Dr. Aziz Jamaludin.
Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/10/04/putra-sedia-ambil-alih-kelantan-pru-15/