PUTRA persoal masih ada penerbangan dari Tawau ke KLIA 2
KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa (Putra) Bahagian Sepang menyerahkan memorandum berhubung ketidakpuasan hati rakyat terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tawau, Sabah kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Setiausahanya, Aznahar Aziz Abd. Aziz berkata, kenapa masih ada penerbangan ulang alik dari Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), sedangkan berlaku penularan pandemik Covid-19 yang teruk di daerah itu.
“Berdasarkan pemerhatian kami di KLIA 2, bermula dari tarikh Tawau dikenakan PKPD sehingga 2 Oktober lalu, masih wujud penerbangan ulang alik ke Lapangan Terbang Tawau serta sebaliknya.
“Sedangkan rakyat Malaysia maklum akan perintah PKPD dilaksanakan di Tawau sebab berlakunya penularan pandemik Covid-19 yang serius,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Memorandum itu diserahkan Putra Bahagian Sepang kepada Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan, Zaaba Abu Bakar yang mewakili Menteri di Putrajaya.
Menurut Aznahar Aziz, mengikut prosedur, setiap penumpang sepatutnya menjalani ujian swab Covid-19 sebelum menaiki pesawat, bukan selepas sampai di lapangan terbang untuk diambil saringan.
Kata beliau, apa yang pihaknya dapati, penumpang dibenarkan menaiki pesawat hanya berdasarkan ujian suhu dan pemeriksaan simptom fizikal tanpa melakukan ujian klinikal iaitu swab test sebelum berlepas.
“Ujian swab hanya dilakukan setelah semua penumpang tiba di KLIA 2. Bagaimana nasib penumpang lain sekiranya terdapat salah seorang penumpang yang sudah menaiki pesawat itu dijangkiti virus Covid-19?
“Kami juga dapati semua pesawat dari Tawau ke KLIA 2 tiada penjarakan sosial. Ini menunjukkan pengurusan syarikat penerbangan itu tidak mematuhi SOP yang disarankan Kementerian Kesihatan bagi mengawal pandemik Covid 19.
“Mana tanggungjawab sosial oleh pihak syarikat penerbangan berkenaan? Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas membahayakan nyawa penumpang dan membawa ancaman virus Covid 19 ke Semenanjung,” tegasnya.
Beliau berkata, pihaknya juga mendapati semua penumpang pesawat dari Tawau tidak dikenakan kuarantin di tempat yang dikhaskan, sebaliknya menjalani proses wajib itu di rumah masing-masing.
Katanya, langkah mengenakan kuarantin wajib di rumah tidak dapat menyekat penularan pandemik itu kerana untuk pulang, mereka menggunakan pengangkutan awam seperti teksi, grab, bas dan ERL.
“Bayangkan, berapa kontak yang telah mereka tempuh sebelum tiba ke destinasi.
“Jelas, tindakan tidak kuarantin di tempat khusus menyebabkan kebarangkalian berlakunya penyebaran virus Covid-19 lebih tinggi, maka tidak hairan jangkitan pada 1 Oktober mencapai 260 kes.
“Apa tindakan dan langkah diambil Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dalam menyekat wabak ini? Adakah hanya sekadar melepaskan batok di tangga?,” soal beliau.
Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/10/06/putra-persoal-masih-ada-penerbangan-dari-tawau-ke-klia-2/