Berita PUTRA

Putra Mendesak Haziq Aziz Didakwa Atas Tuduhan Meliwat Azmin Ali

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Kenyataan media PUTRA berkaitan penyebaran video lucah melibatkan seorang yang dikatakan mirip Menteri Kabinet.

  1. PUTRA mengambil maklum berkaitan penyebaran klip video berkenaan yang menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari yang lepas.
  2. PUTRA juga mengambil maklum bahawa seorang lelaki bernama Haziq Aziz telah membuat pengakuan bersumpah bahawa beliau adalah salah seorang pelaku dalam video lucah berkenaan bersama dengan YB Dato Seri Mohammad Azmin Ali, Menteri Ekonomi dalam kabinet Kerajaan PH.
  3. PUTRA juga mengambil maklum bahawa YB Dato Seri Azmin Ali telah mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan penglibatan beliau di dalam video tersebut dan menuduh bahawa Haziq Aziz berkenaan telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memfitnah dan merosakkan kerjaya politik beliau.
  4. PUTRA mengambil maklum bahawa Presiden PKR YB Dato Seri Anwar Ibrahim juga ketika mempengerusikan mesyuarat Biro Politik PKR pada 12 Jun 2019 telah mengeluarkan kenyataan menolak politik kotor sebegini sebagai ketinggalan zaman.
  5. PUTRA juga mengambil maklum bahawa Haziz Aziz berkenaan telah membuat laporan polis bahawa dirinya telah diugut selepas membuat pengakuan berkenaan sambil mendedahkan bahawa terdapat beberapa kejadian liwat lagi antara beliau dengan YB Dato Seri Azmin Ali.
  6. PUTRA dengan ini berpendapat bahawa kes ini adalah peluang kepada pihak polis dan SPRM untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kedua-dua agensi ini adalah profesional dan berkaliber untuk menyiasat sumber penyebaran video, motif penyebaran dan yang paling penting menyiasat ketulenan rakaman video berkenaan termasuk merakamkan percakapan kedua-dua individu yang dikaitkan dengan video berkenaan.
  7. PUTRA juga mendesak agar Dato Seri Azmin Ali agar bercuti sementara dari tugas rasmi beliau bagi membolehkan badan-badan penyiasatan ini menjalankan tugas mereka tanpa rasa gentar sepertimana saranan yang biasa dibuat oleh beliau ketika menjadi pemimpin pembangkang dahulu ke atas mana-mana pemimpin kerajaan yang sedang disiasat pihak berkuasa.
  8. PUTRA juga mendesak agar pihak polis dapat membuka kertas siasatan di bawah seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan dan segera menahan Haziq Aziz berkenaan atas pengakuan perlakuan jenayah beliau.
  9. PUTRA juga mendesak Peguam Negara agar mendakwa Haziq Aziz berkenaan di mahkamah atas tuduhan meliwat dan melakukan jenayah seks luar tabie kerana pengakuan beliau menunjukkan beliau bukanlah mangsa kepada jenayah liwat tersebut.
  10. Dalam perbicaraan nanti, sama ada mangsa yang diliwat itu adalah Dato Seri Azmin atau tidak akan dapat ditentukan secara telus dan adil melalui perbicaraan penuh.
  11. Dari sudut undang-undang, tidak penting sama ada Dato Seri Azmin Ali telah menjadi mangsa liwat atau tidak. Yang penting Haziq Aziz telah mengaku salah melakukan jenayah liwat terhadap seseorang.
  12. Dari sudut politik, Dato Seri Azmin Ali hendaklah segera memfailkan saman fitnah ke atas Haziq Aziz bagi membersihkan namanya dan bagi membolehkan Haziq Aziz mendedahkan segala bukti bahawa beliau telah meliwat Dato Seri Azmin Ali untuk dinafikan oleh Menteri berkenaan.
  13. Pada masa yang sama, PUTRA menyeru rakyat Malaysia agar jangan berhenti mendesak Kerajaan PH agar menunaikan kesemua janji manifesto Pilihan Raya dan jangan mengalihkan fokus rakyat terhadap tanggungjawab kerajaan dengan menghidangkan politik lucah seperti ini untuk menutup kelemahan kerajaan yang gagal memperbaiki taraf hidup rakyat.

Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz
Naib Presiden
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA)
14 Jun 2019

Sumber: https://www.editormalaysia.com/10479/