Berita PUTRA

PUTRA mahu Zeti disiasat SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat tiga dakwaan salah guna kuasa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz membabitkan keluarga tokoh ekonomi itu. 

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman mendakwa, pihaknya mendapati kesalahan melibatkan keluarga Zeti, ia adalah isu berkaitan pembelian Southern Bank, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Projek Pembekalan Air untuk sekolah pendalaman di Sabah Sarawak. 

Katanya, bagi pembabitan secara langsung Zeti dengan 1MDB yang mana ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menyalurkan USD16 juta (RM64 juta) kepada syarikat milik suami Zeti, Datuk Dr. Tawfiq Ayman malah didapati wang terbabit sudah pun dicairkan tahun lalu. 

“Bagi penjualan Southern Bank yang dibeli Cimb Bank Bhd pada tahun 2015 yang memerlukan kelulusan Gabenor Bank dan Suruhanjaya Sekuriti di mana brokernya adalah Tawfiq Ayman membabitkan komisen sebanyak USD1.8 juta (RM7 juta). 

“Dakwaan ketiga pula adalah membabitkan projek yang dianggap gagal iaitu Projek Pembekalan Air untuk sekolah pendalaman di Sabah Sarawak yang diberi secara runding terus kepada syarikat yang mempunyai kepentingan kepada keluarga Zeti. Malah Zeti didakwa turut melobi dan mengugut untuk projek itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini. 

Hamidah berkata, dakwaan mengenai projek terbabit turut didedahkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa syarikat terbabit turut disambung kontrak walaupun gagal melakukan kerja yang ditetapkan. 

“Kami melihat tiga perkara terbabit sangat serius yang terpalit kepada Zeti kerana ia membabitkan kepentingan awam dan Zeti perlu tampil menjawab semua tuduhan ini. 

“SPRM juga perlu menjalankan siasatan khusus bagi memastikan tuduhan yang dibuat dapat diketahui kebenarannya sekali gus membersihkan nama Malaysia yang menjadi panas akibat skandal 1MDB,” katanya.

Sumber : https://www.utusan.com.my/nasional/2020/12/putra-mahu-zeti-disiasat-sprm/