Berita PUTRA

Putra Hulur Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Nasib lima sekeluarga dan seorang individu yang kehilangan rumah sewa di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini dalam kebakaran pada hari pertama sambutan Aidilfitri lalu, mendapat perhatian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang menyampaikan bantuan wang tunai dan makanan, hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Negeri Putra Wilayah Persekutuan, Datuk Zakaria Abd. Rahman yang turut dihadiri oleh Presiden Penaja Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali di Dewan Serbaguna Kampung Baru di sini.

Zakaria berkata, sumbangan yang disampaikan ini sebagai tanda prihatin dan simpati pihaknya kepada mangsa kebakaran sekali gus meringankan beban mereka.

Tambahnya, pihaknya difahamkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mencari tiga lokasi sesuai untuk menempatkan mangsa kebakaran ini selewat-lewatnya 16 Jun ini.

“Saya berharap rumah yang disediakan oleh DBKL nanti menepati kemampuan mangsa untuk membayar kadar sewaan seperti rumah lama,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 7.41 malam pada 5 Jun lalu lima rumah di kampung berkenaan musnah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/putra-hulur-sumbangan-kepada-mangsa-kebakaran-kampung-baru-1.9169055