Berita PUTRA

PUTRA gesa JPA kembalikan semula biasiswa pelajar Bumiputera

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) kecewa dengan tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menghentikan penajaan pelajar perubatan dan kejururawatan di universiti tempatan.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, tindakan itu secara tidak langsung melanggar Perkara 153 (2) dan 153 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Tegas beliau, seharusnya semua pihak menghormati hak biasiswa kepada Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara sejak sekian lama.

“Isu ini bukan sahaja melibatkan pelajar perubatan, kejururawatan atau sebagainya, isunya adalah semua bidang pelajaran yang membabitkan Bumiputera sebab hak istimewa orang Melayu yang saya sebutkan tadi Fasa 153 (2) dan Fasa 153 (3) menjadi kewajipan kerajaan.

“Tidak kira siapa sahaja memerintah negara ini, biasiswa ini adalah milik istimewa orang-orang Melayu. Saya ingin mengajak orang Melayu dan Bumiputera supaya menyedari, menginsafi dan bangkit bersama menuntut hak kita orang Melayu yang semakin terhakis terutama biasiswa.

“Biasiswa di bawah JPA sekarang ini sudah dibahagikan seolah sama rata 50 peratus Bumiputera, 50 peratus bukan Bumiputera. Saya difahamkan begitu dan ada di kalangan Bumiputera yang mendapat tempat di luar negara dan universiti terkemuka, tetapi dalam negara kita dinafikan biasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis berhubung isu biasiswa pelajar Bumiputera di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Susulan itu, Ibrahim mendesak satu siasatan dilakukan sama ada wujud unsur mala fide dalam usaha menafikan secara halus dan terancang hak orang Melayu yang telah dilindungi di bawah Perlembagaan.

Beliau mahu satu siasatan yang menyeluruh bagaimana serta siapa yang telah memberikan arahan berkaitan pemberhentian atau pembatalan yang merupakan satu pelanggaran undang- undang yang jelas itu.

“Selain itu, ia juga merupakan satu perbuatan bersifat jenayah dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Pemberhentian atau pembatalan penajaan biasiaswa terutama kepada pelajar Melayu merupakan satu pencabulan terhadap keistimewaan yang telah diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama,” jelasnya.

Tegas beliau, perkara itu tidak boleh dipandang enteng kerana pelajar Bumiputera tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sehubungan itu, Ibrahim berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan dapat meneliti semula terutama dalam mengembalikan hak orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.

“Bila saya baca kenyataan JPA ini, tiada lagi penajaan untuk pelajar perubatan, ia termasuk pelajar Bumiputera. Kalau dia sebut tiada lagi penajaan untuk pelajar bukan Bumiputera, itu soal lainlah.

“Saya bercakap hak saya dan hak orang Melayu jangan terjejas dengan keputusan ini, yang menyebabkan Bumiputera juga terbantut.

“Saya berharap Perdana Menteri, yang kenal rapat dan mengetahui semangat juang saya, dapat mengembalikan semula biasiswa hak orang-orang Melayu ini, hak kaum Bumiputera ini.

“Ini bukan soal politik, walaupun saya orang politik, tapi tidak pernah berlumba untuk dapatkan kuasa atau membuat kekayaan itu dan ini. Sepanjang masa fokus saya adalah demi bangsa saya dan orang Melayu,” tegasnya.

Pada 23 Mac lalu, media melaporkan JPA memutuskan tidak akan menawarkan tajaan kursus perubatan, pergigian dan farmasi.

Sebaliknya, tajaan itu hanya untuk mereka yang melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti awam dan politeknik premier yang telah dipilih oleh jabatan.

Sumber : https://malaysiagazette.com/2023/03/31/putra-gesa-jpa-kembalikan-semula-biasiswa-pelajar-bumiputera/