Berita PUTRA

PUTRA desak SPRM batal penggunaan bahasa Mandarin

PUTRAJAYA – Pergerakan Wira Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (PUTRA) hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik penggunaan bahasa Mandarin dalam portal rasminya.

Ketua Pergerakan PUTRA, Nasrul Ali Hassan Abdul Latiff, berkata tindakan SPRM itu dilihat meruntuhkan jati diri rakyat Malaysia yang seharusnya mengguna dan mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Tambahnya, SPRM sepatutnya peka mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam urusan rasmi membabitkan agensi kerajaan.

“Tindakan SPRM mewujudkan portal bahasa Mandrin ini disifatkan tidak berperlembagaan serta bertentangan dengan dasar kerajaan dan peruntukan Perkara 152 dan 152 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini ketika menyerahkan memorandum bantahan kepada SPRM.

Pada 18 September lalu SPRM melancarkan portal dalam bahasa Mandarin bertujuan memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu. 

Nasrul Ali berkata, sebagai agensi kerajaan yang berwibawa dan berintegriti tinggi SPRM harus mengambil peranan teguh dalam memartabatkan bahasa Melayu. 

“Kami mendesak SPRM membatalkan portal berkenaan bagi mengembalikan keutuhan dan kepercayaan rakyat terhadap suruhanjaya ini,” katanya.

Sumber: https://www-bharian-com-my.cdn.ampproject.org/v/s/www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2020/09/733707/bhplus?usqp=mq331AQFKAGwASA%3D&amp_js_v=0.1#aoh=16006773297952&csi=1&referrer=https%3A%2F%2Fwww.google.com&amp_tf=From%20%251%24s