Berita PUTRA

PUTRA dakwa tanah rizab Melayu dipindah milik

IPOH – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendakwa berlaku pemberian hak milikan Tanah Rizab Melayu di Mukim Sitiawan di Manjung oleh pihak tertentu kepada bukan Melayu.

Pengerusi Penyelaras Putra Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, sebanyak 317 lot tanah seluas 649.19 hektar di kawasan berkenaan dipercayai telah didaftar dan dimiliki oleh individu bukan Melayu.

Katanya, pindahan milik ke atas Tanah Rizab Melayu kepada bukan Melayu itu jelas bertentangan dengan Enakmen Rizab Melayu Negeri-Negeri.

“Berdasarkan carian yang dilakukan, daripada 317 lot tanah tersebut, 20 lot dengan keluasan kira-kira 40 hektar telah didaftar dan dimiliki oleh orang bukan Melayu.

“Saya percaya telah berlaku salah laku dan penyalahgunaan kuasa oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dan pihak-pihak tertentu dalam memberi milikan, pendaftaran dan pengeluaran hak milik Tanah Rizab Melayu ini kepada bukan Melayu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Hamidah yang juga Naib Presiden Putra membuat laporan polis mengenai dakwaannya itu bersama Setiausaha Penyelaras Putra Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Menurut Hamidah, pihaknya akan melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

“Ini merupakan satu kesalahan kerana Tanah Rizab Melayu tidak boleh dimiliki oleh orang bukan Melayu dan kami yakin ini adalah salah laku yang berlaku di PTG.

“Kita minta polis untuk siasat perkara ini dan kita juga mohon agar Mahkamah Tinggi isytihar proses pindah milik tersebut tidak sah dan tanah itu perlu dikembalikan kepada status asal,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidah turut meminta kerajaan negeri memberi penjelasan tentang lokasi gantian tanah seluas 8,691 hektar yang telah ditarik daripada status Tanah Rizab Melayu.

“Kita mahu bertanya kepada kerajaan negeri, tentang 8,691 hektar tanah yang telah ditarik status. Di mana tempat gantiannya dan jika tidak dibuat ganti maka penarikan status itu tidak sah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PTG Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip ketika dihubungi memberitahu akan menyemak terlebih dahulu berhubung isu berkenaan.

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2020/09/putra-dakwa-tanah-rizab-melayu-dipindah-milik/