Berita PUTRA

PUTRA bantah SPRM guna bahasa Mandarin dalam portal rasmi

PUTRAJAYA – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membantah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan bahasa Mandarin dalam laman portal rasminya.

Ketua Pemudanya, Nasrul Ali Hassan Abdul Latif berkata, tindakan SPRM itu tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan dasar kerajaan.

“Tindakan SPRM ini melanggar Perkara 152 perlembagaan persekutuan bahawa bahasa rasmi digunakan dalam urusan kerajaan adalah bahasa Melayu.

“Perkara 152 (1) juga dalam perlembagaan persekutuan sangat jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang oleh Parlimen.

“Seharusnya SPRM memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pertuturan, urusan rasmi surat menyurat, kenyataan media dan portal laman sesawang rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian hari ini ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini sebelum menyerahkan memorandum bantahan itu.

Jumaat lalu, SPRM melancarkan portal dalam bahasa Mandarin, bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina dalam mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.

Menurut SPRM, portal tersebut dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hassan Abdul Latif (tiga kiri) bersama Ketua Penerangan Pergerakan Wira Putra, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun (tiga kanan) serta yang lain selepas menyerahkan memorandum kepada SPRM berkenaan bantahan portal bahasa Mandarin di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020

Portal berkenaan boleh dilayari di pautan https://www.sprm.gov.my/cn/.

Dalam pada itu, Nasrul berkata, tindakan SPRM itu menguris hati masyarakat Melayu dan Bumiputera, selain menegaskan bahasa Melayu digunakan majoriti rakyat di negara ini.

Katanya, tindakan SPRM itu mengecewakan kerana dilakukan oleh agensi kerajaan yang dipandang tinggi dan dihormati.

Justeru beliau berkata, Putra mendesak SPRM supaya memadam, menurunkan dan membuang sepenuhnya apa jua bahagian yang menggunakan bahasa Mandarin dalam portal rasmi itu dengan serta merta.

Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/09/21/putra-bantah-sprm-guna-bahasa-mandarin-dalam-portal-rasmi/