Berita PUTRA

PUTRA BANTAH LAMAN WEB SPRM DALAM BAHASA MANDARIN

Kenyataan Media Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

1. PUTRA merujuk kepada Kenyataan Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertarikh 18 September 2020 iaitu berkaitan pelancaran portal SPRM dalam bahasa Mandarin.

2. SPRM adalah sebuah agensi kerajaan yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi seperti yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. 

3. Oleh itu tindakan SPRM memperkenalkan portal rasmi dalam bahasa selain daripada bahasa kebangsaan adalah tidak berPerlembagaan serta bertentangan dengan dasar kerajaan.

4. Jika portal ini dibenarkan maka tidak mustahil nanti akan terpaksa diwujudkan portal dalam bahasa Tamil, Telegu, Jawa, Iban, Kadazan dan lain-lain bahasa bagi membolehkan beratus etnik berbeza di Malaysia boleh memahami berkaitan perang membanteras rasuah.

5. Apa jadi dengan dasar Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan penyatuan antara kaum di Malaysia?

6. Tindakan ini menyebabkan orang Cina tidak melihat apa-apa keperluan untuk memahami, membaca dan menulis dalam bahasa kebangsaan kerana mereka sentiasa diberikan pilihan untuk menggunakan bahasa ibunda walaupun bagi maksud urusan rasmi kerajaan.

7. Adalah menyedihkan selepas 63 tahun Merdeka, masih ada yang mengaku sebagai rakyat Malaysia tetapi tidak memahami pernyataan dalam bahasa kebangsaan sehingga terpaksa dibuat satu laman khas untuk mereka.

8. Rakyat Malaysia tidak lagi boleh diberikan pilihan bahasa melainkan menggunakan bahasa kebangsaan semata-mata bagi maksud rasmi.

9. Pastinya keadaan ini akan menambahkan jurang perbezaan yang memisahkan antara kaum di Malaysia kerana bahasa adalah alat komunikasi yang menyumbang kepada perpaduan negara.

10. Oleh itu PUTRA mendesak SPRM agar menutup operasi portal berbahasa Mandarin ini dan kembali mengutamakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan sepertimana yang dikanunkan melalui Perlembagaan Persekutuan.

Sekian terima kasih. 

Mohd Khairul Azam Bin Abdul AzizΒ 

Naib PresidenΒ 

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA)