Perlembagaan Persekutuan Terancam Dengan Malaysian Malaysia
Ke mana arah tuju kerajaan Malaysia yang ditunjangi DAP dalam PH-BN jika prinsip Malaysian Malaysia dan negara sekular menjadi agenda utama pemimpin-pemimpin kerajaan? Persoalan ini sangat berat dalam membahaskan isu masa depan negara yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Rakyat bukan Melayu hari ini tidak sekali-kali di layan secara berbeza apatah lagi dengan zalim. Semua sedar dan faham bahawa mereka adalah rakyat Malaysia di bawah naungan DYMM Tuanku sebagai pemimpin tertinggi negara dan pemimpin agama Persekutuan.
Tidak logik perjuangan Malaysian Malaysia itu dikekalkan lagi di dalam parti pemerintah melainkan mempunyai niat untuk mewujudkan salah faham dikalangan rakyat dan ada usaha untuk menanam kebencian serta memecahbelahkan rakyat dengan rajanya.
Wira PUTRA berpendapat, semakin ramai pemimpin pro DAP atau majoriti ahli parlimen yang memenangi kerusi parlimen berpegang pada prinsip tersebut, semakin terancam Perlembagaan Persekutuan.
Prinsip tersebut perlu dinoktahkan parti DAP jika mereka jujur dalam membentuk kerajaan perpaduan dan mahu hidup harmoni bersama semua kaum khususnya kaum majoriti Melayu dan Pribumi.
DAP dan para pemimpin kerajaan wajib hayati perisytiharan Islam dan orang Melayu yang telah diluluskan dalam mesyuarat Agung Tahunan PUTRA baru-baru ini yang menggariskan apa yang perlu dibuat bagi menjaga negara dan membangun rakyat.
Wira PUTRA tidak yakin dengan penjelasan Setiausaha Agung DAP cukup memuaskan hati dan memberi jaminan terhadap masa depan orang Melayu dan Agama Islam tidak terancam walaupun tidak di bantah oleh Presiden UMNO.
Pada ketika ini untuk menyedapkan hati pengundi majoriti iaitu orang Melayu dan Pribumi, DAP berani mengatakan mereka tidak akan mengganggu-gugat kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang-orang Melayu, Pribumi dan Agama Islam. Tetapi ia tetap sekadar lisan kerana ia jelas menjadi prinsip perjuangan DAP dan berdasarkan sejarah selepas PRU14 lalu, terbukti mereka berani melakukannya.
DAP juga sepatutnya mula fikir untuk membesarkan skop kemajmukan dengan memastikan keterjaminan agama Islam, Institusi Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Pribumi tidak akan disentuh langsung oleh mana-mana pemimpin mahupun ahli mereka di dalam prinsip dan Perlembagaan mereka jika mereka benar-benar jujur mahu memajukan negara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Jika dasar asas ini tidak boleh diterima, elok cari negara lain yang boleh bergantung dan bukan lagi di Malaysia.
Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia