Penduduk Kpg Setia Jaya bantah pengusiran oleh TARC Education Foundation
KUALA LUMPUR, 13 Dis 2023 – Penduduk kampung Setia Jaya di Wangsa Maju menyatakan bantahan atas notis arahan pengusiran oleh pihak TARC Education Foundation.
Notis arahan tersebut di keluarkan oleh firma Shook Lin & Book pada Feb 2022.
Bantahan penduduk disuarakan kepada Presiden Putra, Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali yang hadir bertemu penduduk, semalam.
Menurut Ibrahim Ali, penduduk di sini telah meneroka dan menduduki tanah tersebut sejak masih hutan belantara di sekitar awal tahun 70an.
“Mereka juga adalah bekas-bekas tentera dan ketika itu Perdana Menteri ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak yang mengarahkan mereka meneroka tanah tersebut selepas peristiwa 13 Mei 69 untuk imbangi penduduk Kuala Lumpur yang majoritinya adalah kaum cina.
Dalam sidang media, Ibrahim memberitahu bahawa penduduk di sini telah ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan untuk memohon pemilikan ke atas tanah tersebut tetapi malangnya tidak dilayan.
“Tiba-tiba, pihak PTG WP meluluskan tanah tersebut kepada Kolej Universiti TAR kepunyaan MCA di atas tanah seluas hampir 50 ekar dan rumah kediaman sekitar 500 buah ini yang mana majoriti penduduknya adalah orang-orang Melayu.
“Israel halau rakyat Palestin guna bom dan kereta kebal. Penduduk Kampung Setia Jaya dihalau guna keputusan mahkamah. Tidak ada rundingan menang-menang. Ujarnya.
Ibrahim turut menegaskan bahawa tanah itu sudah didiami dan menjadi milik bekas tentera sejak awal tahun 70an atas arahan dan persetujuan Tun Razak.
Untuk rekod, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan juga telah mendaftarkan surau di kampung tersebut pada tahun 1989 lagi dan pada tahun 2001, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri, telah meminta permohonan kelulusan cadangan belakan elektrik ke kampung Setia Jaya.
Menerusi rekod kronologi yang dikongsikan oleh penduduk kampung, sewaktu tanah ini diterokai, ia dipunyai oleh Kerajaan. lni jelas terbukti berdasarkan kepada Catatan Carian Persendirian di Pejabat Tanah. Tanah ini telah diberi milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 11 January 1973.
Menurut penduduk, tanah ini kemudiannya telah ditukarkan hakmilik kepada 3 orang lain. Penyerahan Pindahmilik Tanah telah pun didaftarkan pada tarikh 4 Disember 2002 pada jam 02.27 petang.
Dalam isu yang sama, Ibrahim telah menasihati penduduk untuk mengambil beberapa langkah seterusnya agar mereka dapat bersama-sama mempertahankan tanah-tanah yang telah mereka terokai sejak tahun 1969.
Turut hadir ke perjumpaan bersama penduduk kampung Setia Jaya Dato’ Asmawar Samat, Naib Presiden Putra; Rosdi Idris, Setiausaha Agung Putra; Shahrulufti Sharif, Ketua Penerangan Putra; Sdr. Nasrul Ali Hasan, Ketua Wira Putra dan Exco-exco Putra. – malayadaily.com