Berita PUTRA

Pemimpin jangan penting diri, utama nyawa rakyat

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia (Wirawati) kesal dengan penularan kes wabak Covid-19 yang meningkat sejurus Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berakhir pada 26 September lalu.

Kepulangan jentera parti yang berkempen ke Semenanjung menyaksikan kes positif Covid-19 dikesan meningkat di beberapa negeri.

Ketua Wirawati Putra, Dr. Asmah Razalli berkata, kes itu dikesan akibat pesakit positif Covid-19 dan hubungan kontak rapat dengannya yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah ketika PRN.

“Kita kecewa dengan sikap pemimpin politik berebut kuasa sehingga berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dan diadakan pilihan raya, yang mana dalam kempen mereka tiada lagi jarak sosial mampu dikawal.

“Pemimpin politik dan kerajaan seharusnya memikirkan kepentingan rakyat, bukan membahayakan nyawa rakyat ketika Covid-19 kembali menular,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dr. Asmah berkata, sudah tiba masanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memikirkan kaedah berkempen yang lebih relevan dan menghalang perhimpunan yang boleh meningkatkan kemungkinan risiko wabak jangkitan Covid-19.

Kata beliau, amat malang apabila barisan pertahanan Kementerian Kesihatan berhempas pulas menurunkan lekuk kes jangkitan Covid-19, tetapi diburukkan dengan kluster baru akibat perhimpunan beramai ramai.

“Kasihani petugas barisan hadapan yang merisikokan diri menjaga negara. Jangan kita sebagai pemimpin ghairah berebut atau melompat kerusi dan melupakan tanggungjawab kita menjaga rakyat.

“Paling menyedihkan anak-anak di sebuah sekolah rendah kebangsaan di Kedah juga terpaksa menerima tempias apabila kontak rapat pesakit positif Covid-19 mempunyai sejarah perjalanan menghadiri PRN Sabah.

“Hanya seorang guru positif Covid-19, lalu ratusan murid terpaksa melalui saringan Covid-19,” ujarnya.

Beliau menggesa Kementerian Pendidikan bertindak lebih agresif dalam melindungi dan membendung anak-anak dari terkena tempias wabak Covid-19.

Menurutnya, kementerian itu juga perlu melakukan pencegahan lebih awal kerana anak-anak kecil di sekolah belum mampu mematuhi penjarakan sosial dengan baik dan lebih mudah terdedah dengan wabak itu.

Beliau berharap, Kementerian Pengajian Tinggi berlaku adil dengan menjaga kebajikan dan membantu mahasiswa serta mahasiswi terutama golongan B40 yang telah tiba lebih awal di kampus sebelum notis penangguhan pendaftaran dikeluarkan.

Jelasnya, pelajar telah membayar kos untuk daftar dan perancangan lebih rapi perlu diberi oleh kementerian untuk mahasiswa yang terkandas di kampus.

“Kita harap Perdana Menteri (Tan sri Muhyiddin Yassin) berpegang teguh kepada prinsip beliau iaitu prihatin rakyat supaya mempertimbangkan bantuan sepatutnya kepada semua rakyat terjejas tanpa kerenah birokrasi.

“Moratorium lanjutan juga perlu dilakukan jika kes Covid-19 terus meningkat akibat bahana PRN Sabah baru-baru ini,” katanya. 

Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/10/04/pemimpin-jangan-penting-diri-utama-nyawa-rakyat/