Berita PUTRA

Parti muda atau tua bukan isu tapi yang penting integriti – Tok Him

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak gentar dengan kehadiran beberapa parti baharu seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan terbaharu, Parti Muda yang diasaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebaliknya, Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali mengalu-alukan penubuhan parti baharu itu termasuk yang ditubuhkan oleh bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kata beliau, bertambahnya parti politik merupakan evolusi amalan demokrasi dan Putra sentiasa menghormati serta menjunjung tinggi perjalanan sistem itu di negara ini.

“Apabila sebuah parti baharu muncul, pelbagai reaksi timbul. Ada yang positif dan negatif. Paling popular dikatakan ‘berpecah lagi undi Melayu.’

“Kecaman cybertrooper yang dibayar pihak tertentu dengan menggunakan akuan palsu atau didaftarkan di luar negara pasti akan bekerja keras untuk majikan masing-masing.

“Tetapi, ada juga yang lantang menyuarakan pendapat seperti berpecah lagi undi Melayu, sedangkan ianya datang dari tokoh yang beliau sendiri menubuhkan parti baharu.

“Memang pelik, tetapi itulah hakikatnya,” kata beliau dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penubuhan parti baharu yang dinamakan Muda oleh Syed Saddiq di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz menubuhkan Parti Pejuang selepas gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam Parti Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ibrahim, lagi banyak parti baharu ditubuhkan, lagi banyak rakyat atau pengundi dapat membuat pilihan mana yang terbaik atau disukai mereka.

Dahulu, rakyat tidak banyak pilihan, umpama dasar monopoli terhad menyebabkan berlaku ketamakan, kenaikan kos sesuka hati, mutu tidak diberi keutamaan, peyelewengan dan sebagainya.

“Begitu juga dalam amalan sistem demokrasi ini, jika ada dua tiga parti, mereka akan menjadi angkuh dan tidak menjaga integriti kerana tidak banyak pilihan.

“Dunia demokrasi adalah dunia persaingan siapa yang terbaik. Soal untuk mengelak perpecahan undi itu adalah strategi masing-masing bagi meraih kemenangan,” katanya.

Beliau berpendapat, secara ilmuan rakyat tidak kisah parti orang muda atau orang tua kerana muda juga akan menjadi tua.

“Sentimen ini hanya untuk modal politik seperti mana ada yang menggunakan nama Islam untuk politik diri, menggunakan Melayu untuk meraih sokongan orang Melayu atau diguna atas nama pelbagai kaum.

“Sebab itu ada parti MCA untuk Cina, MIC untuk masyarakat India dan banyak lagi parti seperti di Sabah dan Sarawak, walaupun ada yang berbilang kaum tetapi pendekatan kempennya juga bersifat kepentingan kaum.

“Kini ada pula parti muda. Selepas ini ada parti tua, parti wanita, parti orang seni, parti gay, parti OKU dan lain-lain. Apakah ini trend baru di Malaysia?” soal beliau.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, yang rakyat mengambil kira dalam membuat keputusan ialah parti mana mahu diundi atau disokong, bukan (parti) muda atau tua.

Rakyat juga, katanya, mahu mereka yang berintegriti, berakhlak mulia dan cakap serupa bikin, bahkan, remaja dan warga emas akan menolak jika diketahuinya pemimpin itu jenis rasuah, apatah lagi yang otak liberal dan roh penghayatan Islamnya lesu serta kosong.

Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/09/17/parti-muda-atau-tua-bukan-isu-tapi-yang-penting-integriti-tok-him/