Berita PUTRA

MOF perlu jawab tuduhan ke atas Tajuddin – Wira PUTRA

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra mendesak Kementerian Kewangan (MOF) menyiasat laporan sebuah media yang mendakwa Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah menghentikan kontraktor pembangunan berorientasikan pengangkutan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Dang Wangi.

Exco Ekonomi Wira Putra, Ashraf Rosli berkata, rakyat memandang serius laporan itu dan mahu mengetahui sama ada dakwaan itu benar atau palsu memandangkan tuduhan salah guna kuasa amat berat dan memberi kesan buruk kepada Prasarana.

Menurutnya, Wira Putra konsisten dengan pendirian agar kerajaan dan Prasarana perlu memberi penjelasan serta menegakkan kebenaran.

“Sekiranya benar, siasatan dan hukuman mesti dijatuhkan dengan hukuman sewajarnya. Tiada sesiapa boleh terlepas atau terkecuali dari undang-undang.

“Kita tidak bercadang membuat laporan polis, sebaliknya menunggu mereka yang terlibat memberikan penjelasan.

“Sekiranya pendedahan itu palsu, tindakan saman terhadap media The Edge harus dilakukan kerana telah mencalar imej Tajuddin dan nama baik Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

ashrafputra
Ashraf Rosli

Semalam, The Edge menerusi laporannya mendakwa Tajuddin mengambil keputusan menamatkan segala kerja kontraktor sedia ada bagi pembangunan sekeliling terminal LRT Dang Wangi.

Akibat keputusan itu, lapornya, Prasarana terpaksa membayar pampasan sebanyak RM80 juta bagi menamatkan Perjanjian Pembangunan Tanah (JLDA).

Ashraf berpendapat, dua nama besar itu perlu dibersihkan dan The Edge hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya atas pendedahan itu.

Sumber : https://malaysiagazette.com/2020/12/31/mof-perlu-jawab-tuduhan-ke-atas-tajuddin-wira-putra/