Berita PUTRA

Lima Keluarga Sayu Sambut Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kegembiraan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri buat lima keluarga di Kampung Baru di sini lenyap selepas rumah sewa mereka ranap dalam kebakaran 1 Syawal lalu.

Peniaga, Norizainan Johari, 53 berkata, hasratnya untuk pulang ke Johor terbantut.

“Saya berada di Tanjung Karang beraya di rumah keluarga isteri dulu sebelum bercadang pulang ke Johor pada hari raya kedua. Sebaik dimaklumkan kejadian yang berlaku kira-kira 7.30 malam, saya dan keluarga pulang ke Kuala Lumpur untuk melihat keadaan, tapi kecewa kerana tak ada barang dapat diselamatkan,” katanya yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara dewan serbaguna di Kampung Baru di sini.

Terdahulu, mangsa terdiri lima keluarga dan seorang penyewa bujang dikunjungi pimpinan Parti Putra diketuai presidennya, Datuk Ibrahim Ali. Katanya, keluarganya kerugian puluhan ribu apabila tiada barang sempat diselamatkan kerana mereka hanya tiba di rumah sewa kira-kira jam 12 tengah malam.

“Baju raya yang ditinggalkan di rumah untuk dipakai masa beraya di Johor musnah terbakar. Begitu juga dua motosikal dan van yang saya gunakan untuk berniaga. Sampai sekarang saya belum lagi bekerja sebab nak selesai isu rumah dulu,” katanya.

Mangsa, Norazlina Razali, 34, turut membatalkan hasrat pulang beraya di Kelantan kerana tinggal sehelai sepinggang.

“Saya berada di rumah masa kejadian. Anak sulung menjerit ternampak api dari bahagian atas unit sebelah. Masa keluar nak tengok keadaan memang apinya sudah marak. Saya tak fikir apa-apa, terus kejutkan suami dan bawa tiga anak saya ke jalan besar untuk selamatkan diri,” katanya yang bercadang pulang ke Kelantan raya kedua bagi mengelak tersangkut kesesakan di jalan raya.

Dia berharap supaya rumah dijanjikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dapat direalisasikan.

“Pegawai DBKL yang datang semalam maklumkan akan menempatkan kami ke PA/PPR disebabkan perlu mengosongkan dewan pada Ahad ini. Saya harap dapat rumah. Tinggal dalam dewan terlalu lama pun tak selesa, nak mandi pun perlu beratur, ” katanya yang pernah membuat permohonan rumah DBKL 2011 namun ditolak.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Putra Wilayah Persekutuan, Datuk Zakaria Abd Rahman berharap mangsa bersabar dan menerima penempatan ditetapkan oleh DBKL.

“Kami bantu sebaik mungkin bagi mengurangkan beban mangsa namun berharap segala penetapan penempatan disediakan DBKL diterima. Tak boleh nak minta rumah dekat atau jauh sebab ia bergantung kepada kekosongan unit. Dibimbangi permintaan tersebut melewatkan kerja pemindahan,” katanya.

Dalam program sama, sumbangan wang tunai dan keperluan makanan turut disalurkan kepada keluarga terjejas.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/32399/EDISI/Selangor-KL/Lima-keluarga-sayu-sambut-Aidilfitri