Lebih 640 Hektar Tanah Rizab Melayu di Sitiawan Hilang Sejak 2005
IPOH – Seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di mukim Sitiawan, daerah Manjung, Perak didakwa bertukar milik kepada orang Cina sejak tahun 2005.
Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berkata, tanah tersebut telah dipecah kepada 317 lot dengan 100 peratus dimiliki orang bukan Melayu dan kini menjadi ladang kelapa sawit.
Beliau menegaskan pindah milik terhadap tanah yang asalnya digazetkan sebagai rizab Tanah Melayu pada 7 Januari 1930 itu bercanggah dengan enakmen dan Akta Kanun Tanah Negara 1965.
Bekas Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak mulai 2009 hingga 2013 itu mendakwa perkara tersebut melibatkan sindiket dengan lebih mencurigakan kelulusan pecahkepada 317 lot itu hanya diluluskan oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG).
“Ini satu perkara yang mencurigakan, malah hal menjadi lebih ketara apabila surat ini ditandatangani oleh bagi pihak (wakil) Pentadbir Tanah Manjung.
“Ini bermaksud, ia bukan ditandatangani oleh Pentadbir Tanah itu sendiri, sebaliknya hanya wakil.
“Kemudian kita dapati banyak lagi perkara tidak konsisten dalam surat itu, seolah-olah ia disiapkan secara tergesa-gesa,” dipetik wawancara Mingguan Malaysia hari ini.
Pada 24 September tahun lalu, Hamidah yang juga Pengerusi Penyelaras Putra Perak telah membuat laporan polis mengenai dakwaannya itu bersama Setiausaha Penyelaras Putra Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.