Krisis makanan Tak Selesai Dengan Jaminan Lisan Saja
PETALING JAYA: Wira PUTRA menyarankan kerajaan untuk mewujudkan pelan kajian pemerkasaan bekalan rantaian makanan dan seterusnya dijadikan dasar penting negara.
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata jaminan secara lisan tidak bererti terhadap penyediaan bekalan makanan dan kestabilan harga barang untuk kegunaan domestik jangka panjang.
Menurut beliau, pada ketika ini negara kekurangan bekalan ayam mendapat pelbagai alasan tetapi tidak mustahil akan berlaku krisis bekalan makanan ini lagi pada barang-barangan lain seperti hasil laut dan sayur-sayuran.
“Trend dalam tempoh 10 tahun ini sahaja sudah pelbagai jenis barangan yang telah terganggu penyediaan bekalannya termasuk gula, bawang dan daging.
“Wira PUTRA mencadangkan semua agensi berkaitan pertanian, perikanan dan penternakan diletakkan di dalam satu ‘task force’ kawalan harga barang, bekalan barang dan pemerkasaan tenaga kerja muda dalam bidang berkenaan.
“Ini bagi membolehkan jaminan bekalan untuk masa depan setidaknya lebih meyakinkan berbanding sekadar dalam bentuk kata-kata,” tegas Nasrul dalam kenyataan pada Khamis.