KERAJAAN GAGAL SEPENUHNYA TANGANI BENCANA BANJIR
KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PARTI PUTRA MALAYSIA
KEGAGALAN MENANGANI BANJIR
22hb Disember 2021
- BIRO POLITIK & PENGURUSAN PARTI PUTRA yang bermesyuarat hari ini 22hb Disember 2021 melahirkan rasa kesal yang amat sangat, dukacita dan mengecam atas kegagalan Kerajaan Pusat dan Negeri yang gagal secara sepenuhnya menangani ancaman banjir yang mula berlaku pada Khamis malam Jumaat pada 18hb Disember 2021.
- Setakat hari ini sudah 54 nyawa terkorban. Tidak ada tindakan pantas dan berkesan untuk menyelamat mangsa banjir. Langsung tidak ada penyelarasan antara agensi-agensi yang terlibat dan aset-aset yang ada gagal di gerakkan sepenuhnya. NADMA yang merupakan Agensi Bencana Banjir seolah-olah tidak wujud dan lepas tangan. Polis, ATM, Bomba, Pertahanan Awam dan ada lagi lain-lain agensi, namun semuanya terkial-kial untuk bertindak pantas.
- PUTRA mendesak NADMA dirombak segera dan susunan kakitangannya dari Ketua Pengarah dan seluruhnya kakitangan kanan. Ketua Pengarah wajib ditukar dan Menteri serta Timbalan Menteri yang menjaga serta mengawal selia NADMA wajib letak jawatan. Jangan membazir wang rakyat dsngan gaji puluhan ribu satu bulan. Memang bow tie tidak sesuai dengan tugas menangani banjir yang memerlukan pemimpin yang agresif dan cekap.
- Baru berlaku seorang Menteri Negara Kuwait letak jawatan kerana gagal urus banjir. Di Jordan, ada Menteri meletak jawatan juga kerana gagal urus banjir. Di German juga begitu, seorang Menterinya juga di desak letak jawatan kerana gagal urus banjir. Yang peliknya di Malaysia, yang gagal, yang karut dan yang menyalahguna kuasa dilantik, naik pangkat dan ada rakyat cium tangan.
- PUTRA mengingatkan kepada Perdana Menteri jangan pula melantik ‘Penasihat Banjir’ bertaraf Menteri kerana penasihat – penasihat yang sedia ada dilantik ini sudah banyak membazir wang rakyat, dengan jumlah Menteri dan Timbalan Menteri paling ramai dalam dunia di Malaysia berbanding jumlah rakyat yang kecil. Belum masuk Duta – Duta Khas makan gaji buta. Peranannya bertindih-tindih sehingga banyak yang bercelaru kerana kegagalan penyelarasan. Malaysia sudah benar-benar jadi negara hodoh dengan berbagai angkara kegagalan isu-isu termasuk menangani Covid-19 yang sedang mengancam keselamatan kesihatan rakyat.
- PUTRA mendesak Kerajaan untuk mengambil tanggungjawab, membayar pampasan ganti rugi kepada keluarga yang menjadi mangsa korban banjir
RM200 ribu seorang, dan, RM30 ribu setiap rumah yang musnah, dan, RM5 ribu bagi setiap kenderaan yang rosak. Kalau Kerajaan mampu berfikir untuk mendenda rakyat daripada RM10 ribu kepada RM100 ribu kerana langgar SOP, mengapa tidak bersedia membayar RM200 ribu kepada setiap rakyat yang menjadi korban banjir? - Jangan pula ada desakan mengadakan PRU-15 dahulu sebelum ada tindakan menyusun strategi menangani isu-isu keselamatan rakyat dan negara secara berkesan.
Malaysia sudah benar-benar bertukar corak sebagai negara ibarat “Ayam Berkokok Hari Tak Siang“. Negara Pimpinan Puak Retorik dengan perangai dan tingkah laku yang memalukan. Mungkinkah kerana Kerajaan Keluarga BN & PN bukan kerajaan yang mendapat mandat rakyat PRU-14 sebelum ini? Entahlah.
Semoga Allah Selamatkan Rakyat dan Negara Malaysia daripada bersilih ganti musibah yang mendatang tanpa putus.
PUTRA PERKASA NEGARA
PERJUANGAN BERSIH DAN BERMORAL
Terima Kasih
ASHRAF ROSLI
Ketua Penerangan Parti PUTRA Malaysia