Berita PUTRA

KENAPA ADIK AZAM BAKI TIDAK GUNA AKAUN SENDIRI? – PRESIDEN PUTRA

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA

5 Januari 2021

1. Setelah membaca berita penjelasan daripada Tan Sri Abu Zahar Ujang, ia hanya mengundang ketawa dan jenaka ramai kerana beliau menyatakan bahawa tiada isu terhadap Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki. Semuanya beres dan bersih. Ini amat mengejutkan. 

Alasan Abu Zahar ia adalah kerana Azam Baki sudahpun memberi penjelasan bahawa adik beliau meminjam akaunnya bagi tujuan membeli berjuta saham yang telah mengundang kecaman seluruh rakyat Malaysia. Saham-sahamnya itu juga sudahpun dipindah kepada adiknya. A langkah hebatnya apabila seorang abang begitu baik dan terpuji demi membantu kehendak adiknya sendiri sehingga sanggup menjejaskan kredibiliti dan integritinya sendiri sebagai Ketua Pengarah SPRM. Ini amatlah mengejutkan serta membimbangkan. 

2. Alangkah mudahnya cara dan proses membeli jutaan saham ini rupanya sehinggakan saham ‘milik’ adik kepada abangnya yang mempunyai jawatan penting dalam kerajaan, berani meminjamkan akaun dan namanya sendiri kerana beranggapan tidak timbul masalah atau wujudnya conflict of interest walaupun abangnya berjawatan sebagai Ketua Pengarah sebuah suruhanjaya yang mencegah rasuah di Malaysia. 

Jika begitu, maka adakah adik-beradik Perdana Menteri atau menteri-menteri lain, Menteri Besar, Ketua Setiausaha Negara dan juga Ketua-ketua Pengarah lain-lain jabatan semuanya boleh memberi pinjam akaun masing-masing untuk adik-beradik sendiri membeli saham? 

Persoalannya kenapakah sebelum ini tidak berani diisytihar atau tidak dimaklumkan daripada awal bagi mendapat kebenaran pihak atasan serta mengelakkan konflik kepentingan dan juga bagi mengelakkan prasangka buruk terhadap penjawat awam?

Hakikatnya, banyak pihak mahu tahu dari manakah datangnya dana bagi membeli berjuta saham tersebut? Tidak akan selesai masalah dengan penjelasan sehala oleh Abu Zahar Ujang selaku Pengerusi Penasihat SPRM pada hari ini. Diharapkan janganlah beliau menjadikan Pengerusi ‘punahsihat’ pula.

3. Jalan yang terbaik ialah pihak kerajaan perlu menubuhkan Jawatankuasa Bebas bagi menyiasat Isu Ketua Pengarah SPRM ini dengan kadar segera. Azam Baki juga wajar didesak untuk segera bercuti bagi memudahkan siasatan dijalankan. Beliau bolehlah berehat seketika dan biarkan siasatan dijalankan. Apa yang susah dan hendak ditakutkan jika beliau benar-benar ‘clear’ dan bersih?

Azam Baki perlulah menjadi anak jantan selaku Ketua Pengarah SPRM yang bersih dan terbilang. Janganlah pula bersikap seperti ahli politik. Selaku Ketua Pengarah sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah, beliau wajar menunjukkan tauladan yang baik dan boleh diikuti serta dicontohi oleh penjawat awam lain khususnya pegawai-pegawai SPRM sendiri. Ini sahaja caranya bagi memulihkan kembali kepercayaan orang ramai terhadap agensi pencegahan rasuah tersebut yang teruk dikecam akibat daripada pelbagai masalah yang melanda akhir-akhir ini. 

4. Isu ini juga merupakan ujian kepada “Kerajaan Bukan Mandat Rakyat” untuk membuktikan tanggungjawab bukanlah sekadar retorik sahaja.

Terima kasih. 

BERSIH DAN BERMORAL, PUTRA PERKASA NEGARA

Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali
Presiden PUTRA