Berita PUTRA

Kabinet besar, tapi gagal selesai masalah rakyat, negara – Ibrahim Ali

JELI – Walaupun jumlah Menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencecah lebih 70 orang termasuk timbalan, penasihat dan duta bertaraf menteri, tetapi sehingga kini masih gagal mencari jalan mengatasi masalah kenaikan harga ayam dan barang keperluan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali menegaskan, hidup rakyat semakin hari tertekan dengan masalah krisis makanan dan suasana politik yang kelam kabut.

Menteri dan timbalannya berjumlah 74 orang, tidak termasuk lima penasihat Perdana Menteri dan lima duta bertaraf menteri, tetapi nak selesai masalah harga ayam pun gagal dan kelam kabut.

“Negara jiran, Thailand banyak juga masalah politik dalaman, bukan stabil sangat pun, tetapi bekalan dan harga ayam bukan isu, makanan cukup.

“Di Singapura, rakyat tidak pelihara ayam, tetapi tidak ada masalah ayam dan telur. Begitu juga negara Asean lain seperti Kemboja, Vietnam, Laos, Filipina dan Indonesia tidak kalut seperti Malaysia.

“Nilai duit mereka terutama baht Thailand dari dulu sampai sekarang tetap kukuh berbanding ringgit yang terus menjunam. Apa nak jadi?,” soalnya dalam Ceramah Perdana Putra Siri Tsunami Politik Kebangkitan Rakyat Kelantan di Kampung Panglima Bayu, dekat Jeli, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Putra Kelantan, Che Asemari Che Ali; Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul; Penasihat Undang-Undang Putra negeri, Nasir Abdullah; dan Ketua Putra Bahagian Jeli, Prof. Ir. Dr. Muhammad Daud.

Selain gagal, kata Dr. Ibrahim, kerajaan sekarang juga mempunyai barisan pemimpin yang sudah hilang integritinya dan ramai terlibat dengan perbuatan tidak bermoral seperti rasuah.

Katanya, bukan setakat kerajaan, parti lama yang merasakan dirinya hebat juga sebenarnya retorik dan tidak ubah seperti buku yang kulitnya cantik, tetapi tanpa ilmu.

“Maka, tanggungjawab rakyat ialah wajib menolak mereka ini dan ganti dengan pilihan baru demi masa depan anak cucu dan negara.

“Cukuplah rakyat menang sorak kampung tergadai. Hutang negara sudah mencecah hampir RM1.4 trilion, nilai duit RM4.40 bersamaan USD 1, tetapi menteri bercakap ekonomi di landasan yang betul. Sungguh lucu dan memalukan.

“Setakat ini Malaysia dilihat seolah sudah rosak dan tenat dalam semua aspek. Hentilah temberang kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam konteks Kelantan pula, Dr. Ibrahim yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas mengulangi kritikannya berhubung kegagalan kerajaan Pas negeri itu mengurus tadbir kerajaan negeri.

Kata beliau, rakyat Kelantan sejak 30 tahun lalu tidak pernah sunyi berdepan dengan masalah bekalan air.

“Tidak cukup dengan itu, pelbagai cukai dinaikkan berkali ganda secara mendadak sehingga ekonomi negeri lumpuh dan alam sekitar musnah akibat pembalakan.

“Namun, Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, anggota Exco dan wakil rakyat Pas menikmati hidup senang lenang, tanpa sedikit pun timbul kesedaran bahawa rakyat hidup menderita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Kelantan beralih dan berhijrah kepada parti lain jika mereka mahu perbaiki kehidupan yang dimusnahkan oleh kerajaan Pas selama lebih 30 tahun.

Beliau yakin Kelantan boleh dimajukan kerana mempunyai cukup syarat iaitu bumi subur dan pelbagai galian, modal insan yang banyak, sungai, bukit, pantai, kehebatan pelbagai budaya dan kaya dengan puluhan jenis makanan.

“Yang Kelantan perlu sekarang ialah parti yang tidak menang sorak kampung tergadai serta pemimpin jujur, bersih, amanah, berjiwa rakyat, kreatif, inovasi, berani dan tegas memimpin serta mengurus tadbir kerajaan negeri.

“Berilah peluang kepada Putra. Agendanya adalah Melayu dan pribumi yang wajib diangkat martabat setanding lain-lain kaum sebelum memekik dasar kesamarataan,” katanya.

Sumber : https://malaysiagazette.com/2022/06/18/kabinet-besar-tapi-gagal-selesai-masalah-rakyat-negara-ibrahim-ali/