Berita PUTRA

Biadab terhadap raja, UMANY wajar diharamkan – Wira PUTRA

KUALA LUMPUR – Kenyataan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) sangat kurang ajar dan bersifat provokasi ekstrem terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Penerangan Pergerakan Wira Putra Malaysia, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun berkata, kenyataan itu mengundang kemarahan rakyat khususnya masyarakat Melayu.https://9ca3d824f86656e44bdcf60e57659d68.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-37/html/container.html

Tegasnya, tindakan UMANY itu secara tidak langsung menunjukkan mereka bukan warganegara Malaysia yang baik, sebaliknya mempamerkan diri sebagai pengkhianat negara kerana tidak berpegang kepada prinsip Rukun Negara  yang kedua, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

“Tindakan UMANY ini seolah mencabar dengan menghina institusi Raja Berperlembagaan dan menghina Yang di-Pertuan Agong khususnya dengan menyatakan, “…walaupun Malaysia mengekalkan sistem pemerintahan beraja, Raja hanyalah mempunyai status simbolik yang telah dianugerahkan oleh Perlembagaan Persekutuan…”

“Kita berpendapat kenyataan jelas menampakkan kebodohan dan kebebalan pemikiran mereka dengan mengatakan kedudukan Raja-Raja Melayu itu adalah anugerah dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sedangkan umum tahu Raja-Raja Melayu itu adalah ketua dalam negeri masing-masing dan Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara yang mempunyai peranan dan kedudukan yang begitu tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media.

UMANY dalam Facebooknya semalam dilaporkan berkata, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Maka, di bawah sistem itu, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.https://9ca3d824f86656e44bdcf60e57659d68.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-37/html/container.html

Menurut persatuan itu, Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan (YDPA) harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

Menurut Meor Mohd Hilmi, sejarah juga membuktikan Raja-Raja Melayu adalah tuan tanah di Tanah Melayu ini.

Beliau mengesa kerajaan melucutkan kewarganegaraan individu dalam UMANY dengan segera kerana jelas tidak taat dan tidak setia kepada Perlembagaan Persektuan melalui perbuatan atau percakapan mereka.

Katanya, perbuatan seumpama itu ada terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 3: Kewarganegaraan – Bab 2: Penamatan Kewarganegaraan – Pekara 25: Perlucutan kewarganegaraan melalui pendaftaran di bawah Perkara 16A atau 17 atau melalui penaturalisasian – (1A).

“Kita dapat merasai kenyataan UMANY ini seperti cuba menyemai ideologi komunisme dan kebencian terhadap Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong dengan menangguk di air keruh, iaitu berusaha membawa masuk, menyebarkan semangat sentimen kebencian rakyat Thailand terhadap maharaja mereka dalam negara ini.

“UMANY juga dilihat seolah cuba mempengaruhi pemikiran masyarakat Malaysia supaya membenci institusi Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.

“Kebarangkalian mereka mahu melenyapkan terus institusi Raja-Raja Melayu di bumi Malaysia ini juga mungkin boleh berlaku. Jadi, persatuan itu wajar diharamkan,” katanya. 

Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/11/01/biadab-terhadap-raja-umany-wajar-diharamkan-wira-putra/