Berita PUTRA

Bekas Pengarah Institut Darul Iman sertai Putra

KUALA LUMPUR – Seorang lagi ahli akademik menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di Kelantan, hari ini.

Bekas Pengarah Institut Darul Iman (IDAMAN), Prof. Dr. Ibrahim Mamat secara rasmi menyerah borang keahlian Putra kepada Timbalan Pengerusi Perhubungan Putra Kelantan, Asri Ali.

Dengan penyertaan itu, beliau dilantik sebagai Naib Ketua Putra Bahagian Jeli dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas berkuatkuasa serta merta.

Prof. Dr. Ibrahim berkelulusan Sarjana Muda Sains Universiti California, Davis dan PhD dari Cornell University pernah mengetuai IDAMAN yang berpusat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) Terengganu.

IDAMAN merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab mengkaji setiap perancangan kerajaan, yang berkaitan dengan kebajikan rakyat.

Menurut Asri yang juga Ketua Putra Bahagian Jeli, kehadiran seorang lagi ahli akademik dalam parti itu akan menguatkan lagi sokongan rakyat kepada Putra, yang kini dalam keadaan bersiap siaga dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, Prof. Dr. Ibrahim akan membantu beliau dan Timbalan Ketua Bahagian itu, Prof. Ir. Muhamad Daud yang juga merupakan bekas Naib Canselor Unisel, untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai perjuangan Putra.

“Selamat datang Prof. Dr. Ibrahim dalam parti Putra Kelantan dan penyertaannya akan menambahkuatkan lagi parti itu untuk mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya kepada media, hari ini.

Penyerahan borang keahlian Prof. Dr. Ibrahim disaksikan Prof. Ir. Muhamad dan Setiausaha Agung Badan Perhubungan Putra Kelantan, Ahmad Azwari Abdullah.

Pada 24 Disember lalu, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, turut menyertai Putra Bahagian Ketereh.

Sumber : https://malaysiagazette.com/2021/01/06/bekas-pengarah-institut-darul-iman-sertai-putra/