Berita PUTRA

Ayahanda Rani pilih Putra, walaupun pernah dilamar parti lain

KUALA LUMPUR – Aktiviti NGO, Abdul Rani Kulup dilantik sebagai Ketua Bahagian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Bandar Tun Razak semalam, selepas beliau bersama beberapa rakannya mengumumkan menyertai parti itu.

Pelantikan itu diumumkan Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali dalam satu majlis pelancaran Putra Bahagian Bandar Tun Razak di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Abdul Rani yang lebih dikenali sebagai Ayahanda Rani memberitahu, penyertaannya dalam Putra bukan bermakna beliau bermusuh dengan parti lain seperti UMNO, DAP, Pas dan PKR.

“Semua mereka adalah sahabat dan kawan. Saya terlibat dengan NGO pada akhir tahun 1990-an. Dari situ saya mengenali dan mendekati pemimpin dari PKR, UMNO, Pas dan DAP.

“Malah, semua mereka pernah mempelawa saya menyertai parti mereka, tetapi saya memilih untuk berkhidmat secara sukarela dalam NGO,” katanya.

Katanya, beliau tidak nafikan akan mempunyai ramai musuh sebaik sahaja terlibat secara langsung dalam parti politik, tetapi menganggapnya sebagai lumrah, kerana pada masa sama, beliau juga mempunyai ramai kawan politik.

Menurutnya, apabila meletakkan diri dalam dunia politik, beliau mesti berani dan berpegang kepada perumpamaan, alang-alang menyeluk pekasam, bira sampai ke pangkal lengan.

“Selepas terlibat dalam politik ini, saya saya pusingan hidup saya lengkap dan saya sangat gembira.

“Bagaimanapun, saya sedar tugas dan tanggungjawab saya sekarang semakin berat, tetapi saya akan laluinya seperti biasa dan yang penting saya buat kerja yang baik serta dituntut Allah,” katanya.

Abdul Rani yang merupakan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) berkata, beliau memilih Bahagian Bandar Tun Razak dan menyerahkan kepada Presiden Putra sama ada akan mencalonkannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sudah tentu katanya, jika diberi peluang bertanding, beliau akan menggunakan tiket Putra, tetapi menekankan, pertandingan itu bukan untuk melawan UMNO, PKR, Pas atau DAP.

“Ini peluang saya nak ubah landskap politik tanah air, beri saya peluang ke Parlimen supaya saya boleh bersuara dengan Presiden (Ibrahim Ali) demi agama dan bangsa.

Ujarnya, beliau memilih Putra kerana perjuangan dan hala tuju parti itu yang memperjuangkan bangsa Melayu, negara dan seluruh rakyat.

Sumber : https://malaysiagazette.com/2021/04/12/ayahanda-rani-pilih-putra-walaupun-pernah-dilamar-parti-lain/