Berita PUTRA

Latheefa Perlu Bukti Integriti

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya perlu membuka semula kertas siasatan kes banglo bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan skandal projek terowong bawah laut di Pulau Pinang bagi membuktikan beliau seorang yang berintegriti.

Ketua Penerangan Penaja Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Meor Mohd. Hilmi Meor Zainun malah mengatakan Latheefa tidak perlu takut dan memihak kepada sesiapa lebih-lebih lagi bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu bukan lagi ahli kepada mana-mana parti politik.

Berikut merupakan kenyataan penuh Meor Mohd. Hilmi:

Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya perlu membuka semula kes banglo dan terowong bawah laut bagi membuktikan beliau seorang yang berintegriti tanpa rasa takut dan tidak memihak kepada mana-mana pihak lebih-lebih lagi beliau kini tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik.

Kes banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan skandal projek terowong bawah laut di Pulau Pinang perlu dibuka dengan segera bagi membuktikan integriti beliau dan pastinya rakyat ingin melihat kes ini diambil tindakan sewajarnya.

Kita pasti dan yakin bahawa dengan perwatakan dan latar belakang pengalaman Latheefa sebagai seorang aktivis masyarakat dan peguam, beliau mampu menjalankan tugas “without fear or favour”. Sekiranya kedua-dua kes ini dilihat tidak diambil tindakan sewajarnya maka pelantikan beliau tiada bezanya dengan pelantikan politik yang lain sebelum ini. Akhirnya bercakap tak serupa bikin seperti ayam berkokok tengah malam.

Umum mengetahui yang pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM merupakan lantikan politik yang sekaligus tidak menepati janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Namun, Wira Putra mengakui yang Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menggunakan kuasa vetonya dalam membuat pelantikan tanpa berbincang dengan Kabinet mungkin kerana Dr. Mahathir sudah mengetahui ada anggota Kabinet tidak ada sijil kelulusan (ada yang dakwa ada sijil tapi tipu dan ada sijil beli) dan tidak juga merujuk kepada Majlis Kepemimpinan PH kerana pada awal Perdana Menteri jangka cadangannya akan dibantah.

Jika PH hilang kepercayan rakyat kerana mungkir janji, pada Perdana Menteri itu bukan masalahnya kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tokoh lain memimpin PH.

Kita berharap beliau mampu untuk bertindak secara progresif, professional, adil, serta bijaksana dalam kes yang dilaporkan kepada SPRM khususnya laporan bagi kes skandal banglo dan skandal projek terowong bawah laut di Pulau Pinang yang terdedah sebelum ini.

Beliau mesti mampu mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas agar semua kes biar mahkamah tentukan salah atau tidak. Mana boleh Tommy tarik balik, batal kes atau tidak membawa pendakwaan atas alasan bukti kukuh tidak mencukupi.

Salah atau tidak adalah tugas Hakim mahkamah membuat keputusan. Bila seseorang sudah dituduh biar mahkamah membersihkan nama yang dituduh. Jika tidak ‘mahkamah rakyat’ sampai bila menuduh pihak yang dituduh bersalah.

Peguam Negara bukan Hakim. Kes siasatan terowong bawah laut sudah diketahui umum melalui kebocoran kertas siasatan SPRM yg didedahkan secara terperinci oleh blogger, Raja Petra Kamarudin. Inilah cabaran menanti Latheefa. Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Wira Putra juga mendesak supaya Tommy juga dapat memastikan siasatan perjalanan inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim kerana dikhuatiri ada aktiviti rasuah semasa perbicaraan kes ini berjalan sebab ada saksi yang membuat laporan polis kerana diugut.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/politik/latheefa-perlu-bukti-integriti-1.914487#.XPzggtlsqhM.whatsapp