Berita PUTRA

Isu Kapal Tempur Persisir (LCS): Gesaan Tubuh RCI Segera

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA

1. ISU KAPAL LCS sudah menjadi bangkai berkulat. Seorang ahli PAC membuat kiraan dan mendakwa kerajaan mengalami kerugian RM3.7 Billion. Kehilangan wang negara ini sama seperti isu 1MDB.

2. Hampir RM6 Billion sudah dibayar sebelum ini tapi satu kapal pun tidak siap.

3. Sebelum PRU15, Pemimpin PH dan sekutunya menyerang seperti peluru roket berpandu terhadap Kerajaan ketika itu. Selepas PRU15 dan setelah PH bersama BN menubuhkan Kerajaan, peluru roket berpandu menjadi meriam buluh yang tidak berbunyi lagi.

4. Panglima Angkatan Laut, Laksamana Tan Sri Aziz ketika itu memberi nasihat, malah menulis nota rasmi membantah anugerah projek kapal LCS yang dibuat tidak ikut procedure dan keperluan tentera laut. Nasihat tidak diambil kira malah di tong sampahkan.

5. Kerajaan Madani membuat keputusan untuk menambah peruntukan menjadikan kos satu kapal LCS berjumlah RM2.24 billion dari RM1.5 billion. Negara lain membina projek kapal LCS jauh lebih rendah dari Malaysia. Pastinya berlaku penyalahgunaan kuasa di mana tatakelola menjadi tata haru biru.

6. Oleh kerana ianya melibatkan satu lagi kerugian besar kepada negara dan ada kaitan dengan kepentingan keselamatan negara, MAKA PUTRA MENCABAR KERAJAAN MADANI JIKA BENAR-BENAR TELUS DAN BUKAN RETORIK UNTUK MEMBASMI RASUAH, TUBUHKAN SEGERA SURUHANJAYA DIRAJA (RCI) BAGI MENYIASAT SECARA TERPERINCI ISU PENYELEWENGAN PROJEK KAPAL LCS DAN LAPORANNYA HENDAKLAH DIBENTANGKAN DI PARLIMEN DAN UMUM UNTUK PENGETAHUAN RAKYAT SELURUH NEGARA. SIDANG RCI HENDAKLAH DIBUAT SECARA TERBUKA BAGI MEMBOLEHKAN RAKYAT MENGIKUTI DENGAN SEPENUHNYA.

7. Jika Kerajaan MADANI cuba elak dan berdalih dengan berbagai alasan, MAKA pastilah ada pihak yang cuba dilindungi mereka yang terlibat dan ada kaitan dengan penyelewengan Projek Kapal LCS ini.

8. Rakyat diseru bangkit sama-sama, terutama NGO-NGO mendesak Kerajaan Madani menubuhkan segera RCI KAPAL LCS denga melantik anggota-anggota yang berwibawa serta berintegriti secepat mungkin bagi menyiasat secara terperinci mengenai projek kapal tempur LCS. Projek Kapal Tempur LCS amat memalukan negara kerana kalau bertempur tapi Kapal tidak ada, maka perahu nelayan akan angkat bendera putih. INILAH MORALNYA.

Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali
Presiden PUTRA