RM35.4 Juta Untuk Bina Dewan Ketika Rakyat Sengsara Dengan Pandemik Covid-19
KUALA LUMPUR – Peruntukan RM35.4 juta yang diluluskan kerajaan untuk pembinaan tiga dewan di Parlimen Pagoh baru-baru ini, wajar dipertikaikan ketika rakyat hidup tertekan dengan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Ketua Pergerakan Wiranita Putra Malaysia, Ros Hanita Mohd Basir berkata, pembinaan dewan itu langsung tidak relevan, malah tidak sesuai pada zaman rakyat begitu tertekan dengan masalah wabak penyakit berjangkit itu.
Kata beliau, walaupun kerajaan sedar rakyat hidup susah kerana hilang punca pendapatan akibat diberhentikan kerja, gaji dipotong, perniagaan ditutup dan sebagainya, namun masih kurang inisiatif dilakukan kerajaan untuk membantu memulihkan ekonomi mereka, selain meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu wang milik rakyat sendiri.
“Meluluskan peruntukan untuk pembinaan dewan ini memang tindakan tidak masuk akal, apatah lagi dengan jumlah yang begitu besar untuk tiga buah dewan yang tidak menjadi keperluan jika dibandingkan keperitan hidup dihadapi rakyat.
“Perbelanjaan ini dikategorikan sebagai pembaziran yang besar, seolah kerajaan langsung tidak peka dengan masalah rakyat, melainkan ada udang di sebalik batu, iaitu agenda tersembunyi pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Serentak itu, Wiranita Putra mendesak kerajaan supaya meneliti semula kelulusan peruntukan wang sebanyak itu agar dapat disalurkan kepada golongan yang hilang sumber pendapatan dan punca rezeki.
Jelas beliau, menjadi tanda tanya, mengapa peruntukan itu diluluskan ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri dan daerah.
“Ada baiknya peruntukan RM35.4 juta itu dibelanjakan untuk meningkatkan fasiliti perubatan daripada membina sebuah dewan.
“Dengan ini, Wiranita Putra menuntut kerajaan supaya berlaku adil dan telus dalam membuat apa juga keputusan, tidak hanya memenuhi kehendak pihak tertentu,” katanya.