๐ฃ๐๐ก๐๐๐ฃ๐จ๐ก๐๐๐ก ๐๐๐ฅ๐๐ ๐๐ฌ๐๐ : ๐๐ก๐ง๐-๐ฃ๐๐ก๐๐๐ง๐จ๐ง๐๐ก ๐๐๐ก ๐ฃ๐๐ฅ๐ง๐๐ก๐๐๐ก ๐๐ข๐ ๐ฃ๐๐ง๐๐ง๐๐ ๐๐๐ฃ๐๐ฅ๐๐จ๐๐๐ก
1. Harga ayam telah mula diapungkan pada 1 November 2023. Pengapungan telah diumumkan oleh YB Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 31 Oktober 2023. Dalam pada itu, ura-ura untuk mengapungkan harga telur telah ditangguhkan dan kekal diberikan subsidi.
2. Pengapungan bermakna subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan. Penamatan dilakukan selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil, jelas YB Menteri.
3. Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Barniaz Pahamin, pada 10 November 2023 berpendapat bahawa tanpa subsidi dan kawalan harga, kos ayam akan terus meningkat dan rakyat akan terbeban kerana ayam adalah komoditi asas yang diperlukan.
4. Harga seiling ayam yang ditetapkan oleh Kementerian Hal Ehwal Pengguna sebelum ini adalah RM9.40 kg. Harga beli ayam oleh pihak peniaga pula adalah RM7.90 kg.
5. Pemantauan pada 1 November 2023 oleh pihak penguatkuasa Hal Ehwal Pengguna di Pasar Shah Alam mendapati harga jualan ayam adalah RM8.99 kg.
6. Tinjauan PUTRA pada 2 November 2023 di Pasar Presint 8, Putrajaya mendapati harga ayam adalah RM9.40 kg.
7. Pihak Supermarket Mydin pula telah mengumumkan pada 1 November 2023 harga ayam Rahmah RM7.99 kg.
8. Harga ayam di Johor Bharu meningkat sebanyak RM1.00 kg kepada RM10.50 kg berbanding RM9.50 kg pada Oktober lalu, demikian tinjauan Mohd Farid Noh, Berita Harian, 20 Oktober 2023.
9. Rakan di Johor Bharu menyatakan peningkatan di atas membimbangkan penduduk tempatan, tetapi kurang memberi kesan kepada orang Singapura yang sering berkunjung dan berbelanja di Johor Bharu kerana nilai pertukaran Singapore Dollar yang kuat (1 SD = 3.46 MR).
10. Di Petaling Jaya pula, KOSMO bertarikh 21 Oktober 2023 melaporkan harga ayam telah naik ke RM11kg.
11. Dalam hal ini, pihak kerajaan perlu menguatkuasakan Akta Pencatutan Harga bagi mengawal pengapongan harga pada harga yang munasabah, pembekal dan peniaga membuat keuntungan berlebihan dan tidak membebankan rakyat.
12. Hakikatnya, harga telah menjadi berbeza-beza mengikut tempat kerana harga dan kos pengeluaran ayam di Thailand; misalnya; lebih murah daripada di Malaysia. Besar kemungkinan pembekal di sebelah utara Malaysia akan mendapatkan bekalan dari Thailand, manakala di tengah dan selatan Semenanjung akan mendapatkan bekalan tempatan dengan harga yang agak tinggi sedikit kerana kos pemeliharaan ayam yang meningkat.
13. Apakah pembeli mempunyai pilihan kapada bekalan lain seperti ikan? Bagi golongan sederhana dan bahawan, jawabnya tidak. Ini disebabkan harga ikan keli pilihan alternatif makanan protein rakyat adalah RM12.00 kg, berbanding dibeli oleh peniaga RM9.00 kg dari pemborong. Ikan selar pula RM16kg manakala ikan kembong RM25 kg.
Timbul persoalan bagaimana harga ikan dikawal dan bagaimana pemborong dan peniaga menentukan harga ikan?
14. Semasa kecil-kecil dahulu, tahun 1960-an, kami biasa mengail ikan keli di Parit Satu Barat Sungai Besar, Selangor dan menjualnya sepeti 10 kg dengan harga RM5.00 atau RM0.50 kg. Kini setelah 53 tahun, dengan harga RM12.00 kg adalah satu kenaikan yang tinggi dan menjadikan rakyat tertumpu kepada telur untuk sumber protein harian.
15. Hakikatnya, Pengapungan harga ayam, sebelum ini beras, telah menyebabkan kenaikan harga makanan di restoran, bistro, gazebo, medan sekera dan gerai. Ramai golongan sederhana (M54 -M52 dan pesara) dilihat memilih ke restoran mamak, bistro dan gazebo. Golongan berpendapatan rendah (M40, B40) pula memilih ke gerai tepi jalan dan yang disediakan oleh PBT.
16. Untuk mengawal kos sara hidup sendiri, Laksa RM7.00 sebungkus dan Cendol biasa RM6.00 sebungkus menjadi pilihan alternatif pembeli makanan di Gazebo. Ada yang tambah 3 keping goreng pisang awak RM2.00 dan 4 ketul cekodok pisang RM1.00. Murah atau mahal terpulang kepada kemampuan masing-masing menilainya.
17. Memandangkan Malaysia memiliki tanah yang subur, banyak sawah dan bendang, sungai dan tasik, dikelilingi selat dan laut, maka sudah tiba masanya kita melihat semula potensi dan melakukan transformasi pertanian bagi meningkatkan produksi untuk makanan asas rakyat.
18. Ayam, telor, beras, sayuran dan buahan, minyak masak adalah makanan asas rakyat yang perlu sentiasa dijamin mencukupi dan mampu dibeli walaupun berhadapan kos sara hidup dan inflasi yang semakin meningkat.
19. Sudah tiba masanya, semua jentera kerajaan yang terlibat dengan sektor pertanian, baik di pusat mahu pun di negeri dan di daerah digerak dan diberi nafas baru segera agar menjadi lebih kompetitif berbanding negara jiran. Mereka yang bertugas di daerah, termasuk Pegawai Daerah, perlu menyediakan Pelan Tindakan Produksi Makanan Terjamin mulai 2024 – 2028. Paling utama, Pegawai Daerah, Pegawai Pertanian, Pegawai KPDNHEP dan lainnya perlu tinggal di daerah bertugas masing-masing dalam usaha menggembeling usaha dan merealisasikan sasaran ini. Mereka adalah jentera yg paling hadapan di peringkat daerah yang boleh melaksana pembangunan pertanian dan mengawal kenaikan harga melalui Akta Pencatutan.
20. Dalam hal ini, YB Datuk Rasol Wahid, Timbalan Menteri KPDNHEP telah mengingatkan pada 21 Januari 2022 di Kuching bahawa para peniaga boleh menaikkan harga, tetapi keuntungan yang dapat tidak boleh terlalu tinggi. Peniaga memang mahu untung tapi janganlah melampaui keuntungan yang sebenarnya, katanya.
21. Rakyat tidak mahu lagi mendengar pegawai-pegawai yang bertugas di daerah tidak tinggal ditempat mereka bertugas hingga sukar bagi rakyat menemui dan berkomunikasi dengan mereka. Pihak kerajaan disyor supaya menimbang ganjaran Khidmat Cemerlang kepada mereka yang berjaya dalam projek meningkatkan produksi bahan makanan. Diharapkan perkara ini boleh membendung kadar inflasi. Kita tidak mahu nanti, jika gagal, ada pihak mendesak supaya Menteri meletakkan jawatan, manakala Ketua Setiausaha, Setiusaha Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah dan lainnya termasuk dalam senarai untuk ditukarkan!.
PUTRA BERSIH DAN BERMORAL
PUTRA PERKASA NEGARA
Dato’ Asmawar Samat
Naib Presiden merangkap
Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan AwamParti PUTRA Malaysia.
11 November 2023