Berita PUTRA

๐—›๐—”๐—ฅ๐—š๐—” ๐—”๐—œ๐—ฅ ๐—ก๐—”๐—œ๐—ž, ๐—ฅ๐—”๐—ž๐—ฌ๐—”๐—ง ๐—ง๐—”๐——๐—”๐—› ๐—”๐—œ๐—ฅ ๐— ๐—”๐—ง๐—”

1. Harga bekalan air kepada semua rakyat Malaysia akan dinaikkan 22 sen semeter padu mulai Februari 2024, ramai yang mengeluh, namun pihak kerajaan dilihat memandangnya sebagai dingin dan sepi. Rakyat tadah air mata.

2. Kenaikan harga air adalah suatu perkara yang boleh mencetuskan inflasi, kenaikan kos sara hidup dan meningkatkan lagi kemiskinan di kalangan rakyat. Kumpulan yang bakal teruk terjejas adalah yang tinggal di bandar dan pinggir bandar, yang tinggal di perumahan awam yang diurus oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan perumahan murah milik persendirian.

3. Persoalannya, apakah permasalahan kumpulan terjejas dibawa keperbincangan dan perhatian Jawatankuasa Kabinet dan diputuskan oleh YAB Perdana Menteri yang prihatin dan Madani. Sekiranya tidak, maka kerajaan Perpaduan dan Madani akan dilihat sebagai tidak berfungsi secara berkesan tetapi lebih kepada retorik dan riuh rendah seperti indah khabar dari rupa, kerana sibuk dengan hal-hal sensasi lain ibarat guruh di langit berbunyi tetapi hujan tidak turun. PMX makin glamour manakala rakyat makin derita.

4. Rakyat tertunggu-tunggu bilakah pihak kabinet akan membuat pengumuman rasmi beserta formula yang komprehensif bagi mengurangkan bebanan rakyat bawahan?

5. Parti PUTRA berasa hairan bagaimana perkara asas kehidupan rakyat melibatkan harga dan bekalan air dipandang enteng dan mudah oleh pihak kerajaan. Sudahlah bekalan makanan lainnya seperti beras, ayam, minyak masak dan gula telah naik, kenaikan harga air dan mungkin selepas ini harga minyak petrol adalah suatu perkara yang sukar dinafikan. Umum semua tahu bahawa harga minyak dunia telah naik 2% sejurus selepas tercetusnya serangan US ke atas tentera Houthi dan Yaman pada Disember 2023 yang lepas.

6. Parti PUTRA membantah keras kenaikan harga air yang bakal mengundang inflasi dan akan melemas serta menyusahkan rakyat jelata nanti.

7. Sebaiknya perkara tersebut harus dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Suruhanjaya Air Negara (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan negeri-negeri lainnya, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan.

8. Seperkara yang belum diketengahkan adalah kualiti atau kandungan Ph dalam bekalan air yang tinggi iaitu antara 6.5 hingga 8.5. Sebab itu, bagi kumpulan atasan yang mampu, mereka memilih untuk memasang penapis air Ph 7.5 ke bawah di rumah masing-masing. Namun, tidakkah kita terfikir untuk mencontohi negara Korea Selatan, yang mana hasil penggunaan tempurong kelapa dan kelapa sawit terbuang di Asia Tenggara, telah membuatkan mereka mampu membekalkan air bersih dan selamat dikonsumsi di premis perniagaan dan rumah di Bandaraya Seoul.

9. Kini ramai juga pengguna yang terpaksa membeli air minuman RM6.60 untuk 9500 mm dan air mineral RM2.50 untuk 1250 mm dari kedai runcit lainnya bagi menjamin kesihatan mereka, terutamanya buah pinggang, agar tidak terjejas. Tidakkah kita terfikir, untuk membuat inisiatif projek pilot di Putrajaya misalnya, dengan membekalkan air dengan Ph di bawah 7.5 bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat. Bila tiba musim pilihanraya, pastinya pemimpin-pemimpin politik yang mengidamkan mahu ‘Ke Putrajaya’ berasa puas dan selamat mengopi hasil dari air yang bersih dan menyihatkan.

10. Harga air minuman kini sudah hampir sama mahal dengan harga minyak. Secara perbandingan, pada bulan Oktober 2023, harga runcit petrol RON95 adalah RM2.05 seliter; petrol RON97 RM3.47 seliter; dan diesel RM2.15 seliter.

11. Terpulang kepada kemampuan pihak masing-masing untuk menilainya. Namun, sekiranya kita merasakan kurang mampu dan tertekan, eloklah kita beralih kepada gaya hidup baru dengan membancuh air di rumah, keluar rumah untuk bekerja dengan manaiki pengangkutan awam seperti LRT dan ERL serta mengurangkan tabiat suka bercuti dan berlibur di luar negara. Pentadbir kerajaan di Putrajaya sepatutnya menjadikan Putrajaya sebagai contoh untuk kos sara hidup yang rendah dan pengangkutan awam yang efektif. Tentunya ramai yang masih tertanya mengapa kualiti bekalan air kurang memuaskan dan keretapi bawah tanah yang terbengkalai sekian lama masih tidak diusahakan.

12. Sesungguhnya, kita merasa sedih dan sugul untuk melihat isu air ketika ini umpama meletakkan kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) sama dengan kandungan Ph dalam bekalan air paip. Apakah ianya meMADANIkan atau meMUDARATkan? Sekiranya lebih kepada memudaratkan, elok hasrat untuk menaikkan harga bekalan air untuk dibatalkan.

PUTRA BERSIH & BERMORAL

PUTRA PERKASA NEGARA

Dato’ Asmawar Samat

Naib Presiden

Merangkap Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam

18 Januari 2024