SEJARAH PENUBUHAN PUTRA

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau dikenali sebagai Parti PUTRA adalah kekuatan politik baharu buat rakyat Malaysia khusus orang Melayu dan Bumiputera yang ingin mengembalikan politik ke tempat yang terhormat bagi melindungi hak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan selepas Pilihanraya Umum ke 14 pada 8 Mei 2018. PUTRA telahpun mendapat kelulusan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan pada 8 Mei 2019 bersamaan 3 Ramadhan 1440H iaitu setahun selepas kejatuhan kerajaan terdahulu.

PUTRA telah dilancarkan secara rasmi pada 28 September 2019 (Sabtu) di Padang Bola Sepak Kampung Pindah, Kampung Baru Kuala Lumpur. Singkatan PUTRA dipilih bagi membawa bersama roh dan semangat perjuangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan lambang tanjak atau destar sebagai simbolik pakaian rasmi yang membawa identiti Melayu dan Bumiputera yang dahulunya terkenal dengan keunikan pelbagai jenis ikatan melambangkan kaum dan etnik bangsa masing-masing.

PUTRA lahir dari kesedaran bahawa politik adalah sebuah tugas mulia untuk memperjuang dan mempertahan hak rakyat, namun ia telah dicabul oleh kerana kerakusan pemimpin politik yang korup dan tidak bertanggungjawab hingga membiarkan agenda memperkasa bangsa majoriti Melayu dan Bumiputera diketepikan, agama Islam dihina, kedudukan institusi Raja-Raja Melayu dicabar, tanah-tanah Rizab Melayu di salahgunakan dan digadai tanpa diganti semula dan pelbagai perihal di bawah perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan hak orang Melayu dan Bumiputera dipertikai sewenang tanpa dipertahankan pemimpin politik sedia ada. PUTRA tidak lahir kerana kekecewaan, tetapi lahir atas kesedaran kumpulan pemimpin Melayu dan aktivis yang memperjuangkan nilai kepentingan menjaga segala hal berkaitan agama, bangsa dan negara.

Atas dasar itulah kami bertekad mengakhiri kekarutan dan kecelaruan politik hari ini dengan usaha mengembalikan politik kepada nilainya yang luhur mengikut acuan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang telah diamalkan sejak merdeka. Kami ingin mendekatkan kembali politik dengan nilai-nilai kebajikan agar lahir NEGARAWAN yang seluruh fikiran dan tindakannya berteraskankan kepada kepentingan rakyat dan negara yang lebih besar dan bukan sekadar kepentingan peribadi politik jangka pendek.

Ayuh menjadi sebahagian dari kami!

“Tetap berjuang! Demi Agama, Bangsa dan Negara”

KENAPA PILIH PUTRA

Platform parti dengan cara lama, pemimpin lama takkan mampu mencapai hasil baru yang diinginkan rakyat. PUTRA hadir bersama segala yang baru: idea baru, gabungan jawatankuasa baru, cara baru, orang baru dan platform yang baru. Namun, tidak semudah itu untuk membawa wadah baru ke dalam arena politik semasa di Malaysia.

Justeru, PUTRA memerlukan sokongan ANDA, terutama anak muda Malaysia yang kini ini kebanyakkan merasa jauh hati dengan politik negara. PUTRA adalah harapan baru untuk ANDA… PUTRA bukan sesiapa di tanah bertuah ini TANPA ANDA!

PUTRA adalah parti baru yang tidak terkait dengan kepentingan parti politik sedia ada, rasuah, rekod pemimpin yang buruk, beban sejarah dan citra yang buruk terhadap parti politik sebelumnya.

PUTRA konsisten memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera serta  memisahkan hal politik semasa dan kebajikan rakyat bagi memastikan rakyat menerima manfaat sewajarnya. Kepimpinan di peringkat Ahli Dewan Tertinggi PUTRA bukan sahaja dilantik dari kalangan mereka yang berpengalaman dalam parti politik negara sahaja, malah turut diterajui oleh pemimpin dari kalangan profesional yang bersih dan telus.