Berita PUTRA

SURAT | Wira Putra gesa Ramasamy mohon maaf pada penjawat awam

Wira Putra mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy yang biadab, kurang ajar dan sentiasa menunjukkan sifat perkauman.

Ini membuktikan perpaduan dan kepelbagaian bangsa yang kononnya diamal DAP hanya sandiwara politik dan retorik semata-mata.

Selepas dikutuk dan diasak dia akan mengalihkan kemarahan orang Melayu dengan mengatakan kenyataannya di salah ertikan oleh pengamal media.

Sebelum ini Ramasamy berhempas pulas mempertahan kumpulan pengganas LTTE serta sentiasa membuat provokatif terhadap sejarah kepimpinan orang Melayu yang sehingga kini beliau masih angkuh dan enggan memohon maaf di atas segala penghinaan terhadap orang Melayu.

Tidak ada seorang pun daripada kalangan pemimpin DAP yang berani menegur atau mengecam secara terbuka atau mengambil tindakan terhadap Ramasamy seperti beliau mempunyai permit kekebalan yang luar biasa.

Pemimpin Melayu akan mengecam pemimpin atau NGO Melayu jika membuat kenyataan bersifat rasis, tetapi tidak terhadap pemimpin DAP.

Anthony Loke selaku Setiausaha Agung DAP sekadar menyatakan DAP ada caranya sendiri untuk selesai isu Ramasamy yang menghasut rakyat membenci penjawat awam berbangsa Melayu.

Tiada ketegasan dalam DAP menjamin kedamaian dan menolak sifat rasis dalam membangun negara.

Bagaimana Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh membiarkan seorang yang rasis dalam pasukan kerajaannya bebas membuat provokasi terhadap bangsa majoriti dan sentiasa membuat kenyataan yang berbaur perkauman?

Malah lebih teruk lagi mengapa tidak ada seorang pun pemimpin dari DAP, PKR, Amanah lebih-lebih lagi dari Umno mengutuk kenyataan biadabnya yang seakan mencabar umat Melayu mengenai jawatan penjawat awam ini?

Ternyata Pakatan Harapan (PH) yang mengetuai kerajaan masih lagi sebuah kerajaan yang lemah, yang gagal dan tidak mempunyai kesungguhan politik untuk membuat pembaharuan menghakis sifat rasis demi kestabilan negara di kecuali sekadar retorik.

Apabila pemimpin Melayu buat kenyataan sedikit yang menyinggung kaum lain bukan main heboh mereka mengecam dan mengutuk kenyataan. Begitu juga portal berita seperti Star dan lain-lain yang galak menghebahkan kepada orang awam.

Namun, apabila mereka buat kenyataan berkaitan dengan mempersoal, menghina dan mengutuk orang Melayu dan penjawat awam tiada yang bersungguh-sungguh untuk mempertahankan seperti melepaskan batuk ditangga.

Wira Putra menggesa Ramasamy segera memohon maaf terhadap seluruh rakyat Malaysia khusus kepada para penjawat awam.

Penjawat awam melaksanakan tugas bagi menjalankan fungsi kerajaan dan ia tidak wajar dipolitikkan. Setiap kemasukan melalui tapisan dan proses, bukan semata-mata menurut kehendak politik bangsa tertentu.

Oleh kerana Malaysia adalah asalnya Persekutuan Tanah Melayu dan di bawah naungan Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, maka sesiapa sahaja yang mempertikai atau tidak senang dengan keistimewaan hak orang Melayu dan Pribumi di bumi ini, maka boleh berambus tinggal di mana-mana negara yang mereka suka.

NASRUL ALI HASAN ABDUL LATIFΒ ialah ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/letters/654956